TAWAU - Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang ditemukan dalam keadaan selamat di Kampung Jawa Lanut, di sini, pada Ahad.
Muhammad Fakhri Zhafrah Afandi Muhammad Maulidin, 7, ditemukan di kawasan hutan kira-kira 100 meter dari rumahnya pada jam 7.16 malam.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa berjaya menemui mangsa di kawasan hutan.
"Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang kira-kira jam 12 tengah hari tadi dan dikhuatiri lemas di sungai berhampiran.
"Operasi SAR dilakukan oleh penduduk kampung sebelum pasukan bomba tiba dan ketika pencarian dilakukan, mangsa akhirnya berjaya ditemui tidak jauh dari lokasi rumahnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 7.52 malam selepas semuanya dalam keadaan selamat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kanak-kanak OKU itu dikhuatiri lemas selepas hilang dari rumahnya di kampung berkenaan.