TUMPAT - Satu mayat reput dengan sebahagian badan dipercayai dimakan haiwan ditemukan terapung di sungai Kampung Lubuk Kawah, Pulau Teluk Rejuna,Palekbang, di sini, pada Ahad.
Mayat dipercayai lelaki tersebut ditemukan pada jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, anggota balai Palekbang menerima satu panggilan daripada orang awam menyatakan terdapat satu mayat terapung di sungai Kampung Lubuk Kawah, Pulau Teluk Rejuna, Palekbang, Tumpat.
"Ketua Polis Balai Palekbang bersama empat anggota pergi ke tempat mayat dijumpai dan mendapati terdapat satu mayat terapung di sungai kampung tersebut.
"Mayat dibawa naik oleh anggota polis dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Katanya, tiada sebarang pengenalan diri pada mayat tersebut dan bedah siasat dijalankan oleh doktor mendapati mayat dalam keadaan mereput.
"Sebahagian badan dipercayai dimakan haiwan dan dianggarkan mati dalam jangka masa 36 jam.
"Punca kematian lelaki tersebut tidak dapat dipastikan kerana mayat yang mereput,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan laporan orang hilang menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dalam tempoh terdekat mendapati tidak ada sebarang laporan diterima.
"Sampel yang diterima daripada pihak hospital akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti identiti mayat,” katanya.