SINGAPURA - Singapura, seperti Malaysia, turut mengeluarkan panduan perjalanan untuk rakyatnya yang berhasrat melakukan perjalanan ke Sri Lanka agar menangguhkan hasrat itu untuk sementara waktu, menurut Kementerian Luar (MFA).
"Rakyat Singapura yang berada di Sri Lanka dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri sendiri.
"Mereka dinasihati untuk mengelakkan diri daripada berada di kawasan tumpuan awam yang terdapat protes dan perhimpunan ramai,” menurut MFA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Ahad.
MFA memaklumkan mereka juga harus mengikuti perkembangan terkini dengan teliti dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
"Rakyat Singapura yang melancong atau yang kini berada di Sri Lanka juga dinasihatkan untuk membeli insurans perjalanan yang komprehensif dan memahami syarat dan terma perlindungan," menurut kenyataan itu.
Malaysia pada Ahad menasihatkan rakyatnya untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting berikutan pergolakan di negara itu, akibat krisis kewangan yang meruncing.
Sri Lanka telah terjerumus ke dalam krisis ekonomi terburuk sejak beberapa dekad lalu dan 22 juta penduduknya berdepan kekurangan bahan api, ubat-ubatan dan sumber makanan.
Presiden Gotabaya Rajapaksa dan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe mengumumkan peletakan jawatan masing-masing selepas penunjuk perasaan menyerbu kediaman presiden pada Sabtu dan bertindak membakar kediaman Perdana Menteri. - Bernama