BINTANG tenis Serbia, Novak Djokovic mengakui kehilangan kata-kata apabila berjaya meraih gelaran Wimbledon ketujuhnya setelah menewaskan pemain Australia, Nick Kyrgios, 4-6, 6-3, 6-4, 7-6(3) pada Isnin.
Menurut Djokovic, kejayaan memenangi Wimbledon kali ini sungguh bermakna buat diri, keluarga serta pasukannya terutamanya apabila melibatkan semangat, sokongan dan kerja keras yang dilakukan selama ini.
"Percayah, saya bagai kehilangan kata-kata kerana trofi Wimbledon ini sungguh bermakna buat saya, keluarga dan pasukan saya.
"Seperti yang telah saya katakan berulang kali sebelum ini bahawa Wimbledon sentiasa menjadi kejohanan yang istimewa di hati, memberikan motivasi malah ia juga memberikan inspirasi kepada saya untuk bergiat aktif dalam sukan tenis.
"Saya masih ingat ketika berusia lima tahun menyaksikan Pete Sampras (bintang tenis Amerika Syarikat), memenangi kejohanan Wimbledon pada 1993 dan terus meminta ibu bapa membelikan raket dan selepas itu segala-galanya merupakan sejarah,” katanya.
Untuk rekod, itu merupakan kemenangan keempatnya di gelanggang rumput sekali gus memberikan gelaran Grand Slam ke-21 kepada pemain nombor tiga dunia itu.
Sementara itu Kyrgios berkata, di sebalik kekalahan berkenaan, dia telah melalui beberapa minggu yang cukup mengagumkan di sepanjang kariernya sebagai seorang pemain tenis profesional.
Malah katanya, tidak mustahil untuknya kembali ke pentas final Wimbledon dan memenanginya pada masa hadapan.
"Secara keseluruhannya, saya mengkagumi Djokovic atas aksi cemerlangnya pada pertemuan kali kali ini.
"Apa pun saya dan pasukan saya pasti berada dalam kepenatan ketika ini setelah berhempas pulas dalam kejohanan-kejohanan tenis yang disertai dalam beberapa minggu ini dan kami memang memerlukan masa rehat yang cukup selepas ini,” katanya.