KPPK yakin lawatan PM ke Turkiye perkukuh eksport minyak sawit

Iklan
KPPK optimis hubungan dua hala Malaysia-Turkiye akan terus berkembang terutamanya dalam sektor perdagangan dan eksport komoditi negara seperti minyak sawit. - Foto Bernama

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye baru-baru ini bakal perkukuh hubungan dua hala dengan Ankara.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian optimis hubungan dua hala Malaysia-Turkiye akan terus berkembang terutamanya dalam sektor perdagangan dan eksport komoditi negara seperti minyak sawit.

Iklan
Iklan

"Selain meningkatkan hubungan diplomatik, lawatan terbaru Perdana Menteri juga telah membina jaringan hubungan yang lebih erat antara komuniti perniagaan kedua-dua negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan Turkiye terhadap kualiti minyak sawit negara,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Perdana Menteri dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telah menyaksikan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara kedua-dua negara yang secara langsung menyokong usaha kementerian untuk meningkatkan eksport komoditi negara.

Iklan

Katanya, ia bertepatan dengan misi perdagangan kementerian ke negara itu bermula pada 26 Mac sehingga 30 Mac lepas.

"Semasa lawatan itu, saya telah bertemu Menteri Perdagangan Turkiye Dr Mehmet Mus dan satu perbincangan mengenai hasrat Malaysia untuk mempergiatkan aktiviti hiliran industri minyak sawit telah dilakukan.

Iklan

"Malaysia juga telah menawarkan kepakaran dalam teknologi getah asli, terutamanya dalam galas getah seismik yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk industri pembinaan, termasuk jambatan dan landasan kereta api yang kini sedang berkembang pesat di Turkiye,” katanya.

Bagi tujuan ini, katanya kementerian menghargai usaha Turkiye dalam memberi pengecualian cukai hasil melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang ditandatangani pada 2019.

"Ini juga memudahkan perbincangan untuk menjadikan Turkiye sebagai hab produk komoditi Agri Malaysia ke Eropah dan Asia Tengah,” katanya.

Mengenai perdagangan minyak sawit, Zuraida berkata kementerian juga telah menjelaskan pelbagai isu berkaitan usaha pihak tertentu yang memainkan kempen anti minyak sawit dan produk berkaitan selain menyeru Turkiye untuk menyokong Malaysia.

Sehingga ke hari ini, Turkiye kekal sebagai pasaran penting bagi komoditi keluaran negara. Pada 2021, nilai perdagangan produk komoditi pertanian Malaysia dengan Turkiye bernilai RM6.02 bilion dengan nilai eksport RM5.99 bilion.

Eksport produk pertanian komoditi Malaysia ke Turkiye meningkat 49.5 peratus daripada RM4.01 bilion pada 2020. - Bernama