SEREMBAN - Sebanyak 2,435 ekor haiwan ternakan disembelih di Negeri Sembilan bagi ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 2,215 ekor adalah lembu, 119 ekor kambing dan bakinya adalah kerbau sebanyak 101 ekor.
"Jumlah berkenaan adalah hasil 553 permohonan korban yang diterima dan diluluskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui sistem eQurb@NS yang dibuka pada 13 Jun sehingga 3 Julai lepas.
"Permohonan paling banyak adalah dari Seremban iaitu sebanyak 146 diikuti Kuala Pilah (133); Rembau (74); Jempol (61); Port Dickson (49); Tampin (48) dan Jelebu (42)," katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, Bakri berkata, permohonan korban yang dibuat melalui sistem e-qurb@NS bertujuan memudahkan pemantauan oleh JHEAINS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan ( JPVNS ).
"Kami akan berbincang dengan agensi berkaitan bagi menambah baik usaha berkenaan, secara tidak langsung membolehkan orang ramai membuat permohonan tanpa merumitkan pelaksanakan ibadah korban," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, sebanyak 613 tempat sembelihan terlibat ibadah korban tahun ini.
"Daripada jumlah tersebut 242 adalah tempat persendirian iaitu di kawasan pekarangan rumah manakala 173 permohonan di masjid dan 131 di surau.
"Selain itu, terdapat 34 lokasi sembelihan di tempat awam seperti tanah lapang atau padang-padang di taman perumahan yang mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan