SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung segelintir pemimpin UMNO yang rakus dan mencetuskan ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ujar beliau, lebih baik cadangkan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) disegerakan sekiranya mahukan kestabilan politik dalam pimpinan kerajaan masa kini.
"Serahkan balik mandat mutlak kepada rakyat! Tiada siapa mahu melabur dalam ekonomi yang ditadbir kerajaan campuran yang di dalamnya sentiasa berlaku ugut-mengugut dalam kalangan parti-parti yang bersaing,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Isnin.
Pada Isnin, media melaporkan bahawa Wan Ahmad Fayhsal menyifatkan segelintir pemimpin UMNO sebagai rakus dalam merebut kuasa dan sedang mencetuskan ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebelum ini.
"Yang tuntut hampir setiap hari jawatan TPM siapa?
"Yang tuntut nak tambah lagi jawatan menteri walaupun hari ini kabinet sudah melebihi 70 orang termasuk pegawai bertaraf menteri siapa? Yang sentiasa ugut nak tekan butang siapa?
"Tidak apa, mungkin Ketua Pemuda Armada Bersatu ini terlupa sebab terlalu sibuk dengan formula cetak wang untuk selesai masalah ekonomi negara,” ujarnya.