PONTIAN - UMNO berkemungkinan besar akan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pindaan perlembagaan parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO juga mempunyai perancangan lain jika pemilihan tidak dibuat sebelum 29 Disember ini.
Bagaimanapun, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian enggan mendedahkan butiran Pelan B yang dirancang UMNO itu.
"UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini.
"Bagaimanapun, kita laksanakan Pelan B jika ROS tak lulus permohonan pindaan perlembagaan berbanding membuat pemilihan.
"UMNO sebenarnya tak mahu buat Pelan B tu. Kita harap ROS luluskan permohonan kerana tak ada sebab ia tidak dilulus kerana ia sama dengan apa yang dilakukan MCA sebelum ini," katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu turut yakin permohonan kepada ROS akan diluluskan kerana UMNO melaksanakan pindaan perlembagaan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan.
Selain itu, pihaknya tidak menjangkakan masalah mendapat kelulusan ROS memandangkan agensi itu pernah meluluskan permohonan sama oleh MCA.
UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.
Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.
Berdasarkan dokumen pindaan yang dibentang, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.