REKOD tanpa kalah skuad bawah 19 tahun (B-19) negara pada Kejuaraan AFF B-19 2022 akhirnya lebur apabila tewas 0-1 kepada pendahulu Kumpulan B, Laos di Stadium Patriot Candrabhaga petang Isnin.
Kekalahan berkenaan bagaimanapun tidak menggugat kedudukan skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras itu yang sudah pun mengesahkan slot ke separuh akhir hasil meraih tujuh mata setelah menewaskan Timor Leste 4-3, Sabtu lalu.
Perlawanan petang tadi berlangsung baik dengan aksi pantas kedua-dua pasukan dalam usaha membuka jaringan.
Bagaimanapun kebanyakan percubaan yang dilakukan ke pintu gol lawan masing-masing dilihat gagal menepati sasaran.
Malah percubaan-percubaan berkenaan juga berjaya dikekang benteng pertahanan masing-masing untuk kedua-dua pasukan berpuas hati terikat tanpa jaringan menuju bilik persalinan.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan bagi memecah kebuntuan jaringan.
Namun akhirnya Laos berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila pemain gantian, Phoutthavong Sangvilay berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67.
Tersentak dengan gol berkenaan menyaksikan jentera serangan skuad B-19 negara semakin hebat mengasak ke pintu gol lawan bagik menyamakan kedudukan.
Skuad B-19 negara dilihat banyak memiliki peluang untuk menjaringkan gol penyamaan, namun deretan peluang berkenaan gagal menepati sasaran.
Pada penghujung perlawanan pemain gantian, Muhammad Haqimi Azim Rosli dilihat mempunyai peluang terbaik untuk meledak jaringan, namun rembatannya melambung tinggi melepasi gawang gol Laos.
Kekalahan berkenaan menyaksikan skuad B-19 negara menamatkan saingan Kumpulan B dengan tujuh mata dan bakal berdepan juara Kumpulan A, Vietnam pada aksi separuh akhir kelak.