Imarah tiga masjid dengan silat

Iklan
Program Silat di Masjid diwujudkan sebagai usaha mengimarahkan masjid oleh MAIPk khususnya melibatkan generasi muda.

IPOH - Usaha mengimarahkan masjid kini bukan sekadar melalui kuliah atau program sempena hari-hari kebesaran Islam sebaliknya latihan silat juga berjaya mendorong anak-anak muda ke rumah ALLAH itu.

Usaha dirintis oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan memperkenalkan Program Silat di Masjid yang dimulakan sejak awal tahun ini di tiga buah masjid di negeri membuahkan hasil apabila berjaya menarik perhatian anak muda untuk turut serta dalam program tersebut.

Iklan
Iklan

Tiga masjid yang terlibat adalah Masjid Muhammad Al-Fateh, Ipoh, Masjid Al-Aula Simpang Empat Hutan Melintang dan Masjid Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Seri Iskandar

Ahli Majlis MAIPk, Ezatul Farita Rohawi berkata, idea Program Silat di Masjid itu tercetus ketika persidangan MAIPk apabila Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini mahu lebih ramai anak muda mengimarahkan masjid.

Iklan

"Silat dipilih untuk mengimarahkan masjid kerana kita mahu mengangkat seni bela diri warisan Melayu.

"Pada peringkat awal, kita terima sekitar 30 hingga 45 orang peserta. Kini, jumlah peserta meningkat kepada 60 orang dengan penyertaan paling ramai adalah golongan remaja,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Masjid Muhammad Al-Fateh, di sini.

Iklan

Ezatul Farita yang merupakan Pengarah Program Pengimarahan Masjid itu berkata, latihan silat tersebut diadakan di pekarangan masjid dengan kerjasama rakan strategik iaitu Pertubuhan Silat Seni Gayong Serantau Perak dan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Bagi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, JAIPk, Saiful Azizi Abd Manap, Program Silat di Masjid memberi impak yang sangat positif terhadap pengimarahan masjid.

Menurutnya, kehadiran jemaah ke masjid yang terlibat dengan Program Silat di Masjid itu sangat memberangsangkan khususnya dalam kalangan orang muda.

Beliau berkata, selain hadir untuk menjalani latihan, mereka juga konsisten mendirikan solat berjemaah dan turut serta dalam program-program lain anjuran pihak masjid seperti kelas al-Quran, program tuisyen dan sebagainya.

Sementara itu, Timbalan Presiden II, Pertubuhan Silat Seni Gayong Serantau Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri menjelaskan, latihan silat di masjid diadakan dua kali sebulan selepas solat Isyak.

Menurutnya, modul khas disediakan khusus buat peserta dan jurulatih kerana mengambil kira faktor usia dan tempoh masa latihan yang dilakukan.

"Jika latihan biasa kita lakukan setiap minggu, di masjid ini kita ubah silibus untuk disesuaikan dengan waktu latihan. Pendekatan juga kita beri kelainan sedikit kerana ada golongan warga emas dan kanak-kanak,’’ katanya.

Jelas beliau, latihan silat tersebut bukan sahaja tertumpu ke arah latihan jasmani untuk kesihatan tubuh badan tetapi juga melibatkan rohani, emosi dan minda.

Katanya, kebanyakan peserta yang menyertai program tersebut tidak mempunyai asas silat tetapi mereka begitu berminat untuk mempelajari seni bela diri tersebut.