HATI hendak, semua jadi.
Mula menjual sandwic secara sambilan di kampus dengan modal hanya sekitar RM20 sehari ketika bergelar pelajar tahun tiga di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dua sahabat - Fatin Nurjihan Burhanuddin dan Fatin Wahidah Safiai- kini boleh dianggap sebagai antara usahawan muda yang meningkat naik di negara ini.
Dalam tempoh lima tahun, Banat Sandwich Enterprise yang dikorporatkan oleh mereka pada 2017 dengan modal cuma RM1,000, semakin dikenali dalam kalangan penggemar snek itu dengan nilai jualan bulanan melebihi RM10,000.
Gah di media sosial dengan pasaran utama di Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan serta sekitar Bangi dan Shah Alam, Selangor, dua wanita muda itu menetapkan matlamat baharu, iaitu membuka sebuah kafe sandwic premium di Bandar Baru Nilai dalam masa terdekat.
Menariknya, kedua-dua mereka yang merupakan lulusan sarjana muda daripada Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, turut mempraktikkan dasar berkongsi laba dengan mahasiswa USIM - mengambil mereka yang berminat mencari pendapatan sampingan sebagai pekerja sambilan.
Mengenang kembali jerih payah membangunkan produk Banat Sandwich hingga ke tahap sekarang, Fatin Nurjihan berkata idea untuk berniaga sandwic timbul selepas mendapati makanan itu menjadi antara pilihan utama mahasiswa bagi mengalas perut dalam kesibukan menjalani kehidupan harian sebagai pelajar.
"Selain itu, Persatuan Pelajar USIM juga menyokong usaha pelajar yang ingin berniaga bagi mencari pendapatan sampingan.
Di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah misalnya, pelajar yang ingin berniaga cuma perlu membayar sewa meja khas RM8 sebulan, jadi kami tidak sia-siakan peluang itu,” kongsinya dengan Bernama.
Menurut anak jati Terengganu itu, sejak awal perniagaan, sandwic yang mereka sediakan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan kerana harga yang murah iaitu RM1 sekeping.
"Kami mampu meraih keuntungan bulanan hingga RM400 yang kemudian kami kongsi sebagai upah dan juga dijadikan modal pusingan seterusnya,” jelasnya.
Menurutnya, kejayaan yang dicapai sekarang tidak mudah kerana pada masa itu mereka masih perlu melunaskan tanggungjawab sebagai pelajar.
"Kami masih ingat, ketika kami masih lagi bergelar pelajar USIM, situasi amat sukar kerana kami perlu bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan roti sandwic sebelum dijual di fakulti kampus.
"Selepas tamat pengajian pada 2017, kami beri sepenuh tumpuan kepada perniagaan dan menubuhkan Banat Sandwich Enterprise dengan modal yang kami kumpul semasa berniaga di kampus.
Kini, kami menyewa dua buah rumah di sini sebagai kilang pemprosesan sandwic, mempunyai empat pekerja dalaman dan tujuh penghantar makanan, semuanya pelajar USIM,” ceritanya lagi.
Mengenai nama syarikatnya, Fatin Nurjihan berkata 'banat' adalah perkataan bahasa Arab bermaksud anak perempuan bagi mewakili semangat kaum hawa untuk mengecilkan dominasi lelaki dalam industri makanan.
Pelbagaikan jenis
Sementara itu, Fatin Wahidah berkata Banat Sandwich kini menawarkan pelbagai jenis sandwic dan antara yang popular ialah Chicken BBQ, Tunalicious, Hot Mackerel, Eggcellent dan Chicken Slice.
Harga jualan pula pada kadar mampu beli iaitu RM43 hingga RM75 bagi kotak besar (24 keping campuran pelbagai jenis), manakala kotak kecil (empat keping campuran pelbagai jenis) berharga RM8 hingga RM14.
Menurut wanita kelahiran Pulau Pinang itu, pada masa ini Banat Sandwich mampu menjual hingga 1,000 kotak sebulan dan ketika musim perayaan seperti Aidilfitri, jualan meningkat hingga 100 kotak sehari.
Bagi menjamin kualiti, Fatin Wahidah berkata kesemua produk Banat Sandwich menggunakan bahan mentah premium manakala perapan daging dan ayam adalah resipi olahan mereka sendiri.
"Daging yang kita gunakan adalah daging import premium yang dibeli khas daripada pemborong yang kita kenali sejak dahulu, maka kita boleh jaga kualiti daging yang kita perlukan.
Perlunya kita menjaga hubungan baik dengan pembekal bahan mentah supaya mereka dapat terus membekalkan barangan berkualiti tinggi pada harga yang tidak terlalu membebankan, biarpun kebanyakan harga bahan mentah semakin naik akhir-akhir ini.
"Selain perlu terus menjaga kualiti produk menerusi prosedur operasi standard melibatkan pemilihan bahan mentah dan pembuatan roti sandwic, kita juga perlu berbuat baik kepada pekerja.
Di Banat Sandwich, rata-rata pekerja kita adalah pelajar USIM.
Kita usaha untuk membantu serta menawarkan peluang kerja yang baik, beramanah dan fleksibel supaya tidak membebankan tugas hakiki mereka sebagai pelajar,” jelasnya.
Selaras aspirasi AKM
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berpandangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat dalam perniagaan ketika masih belajar bukan sahaja dapat menggilap kemahiran insaniah mereka tetapi juga meningkatkan kepekaan pelajar terhadap keadaan semasa masyarakat dan industri.
Ini seterusnya menjadikan mereka lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian, ulasnya.
Oleh itu, kata beliau, dalam memupuk lebih ramai pelajar terlibat dalam perniagaan, usaha kerajaan mewujudkan dan memperkenalkan pelbagai panduan serta inisiatif seharusnya dipuji dan diberi sokongan padu oleh semua pihak terutamanya majikan.
Ini termasuk inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, yang mana fi pendaftaran perniagaan dikecualikan bagi golongan belia, pelajar IPT dan ibu tunggal daripada kumpulan B40 yang berminat mendaftarkan perniagaan.
"Selain mendorong pelajar mendaftarkan perniagaan secara sah, SPPP juga secara tidak langsung membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan perniagaan yang lain termasuk menyewa premis perniagaan, membina portfolio perniagaan serta mendorong agar perniagaan dapat terus dijalankan walaupun selepas tamat pengajian," ujarnya.
Sejak diperkenalkan pada Disember 2020, SSM dilaporkan telah meluluskan 2,148 permohonan hingga kini dengan 30,000 usahawan akan memanfaatkan skim itu pada tahun ini.
Selain itu, Muhammad Iqmal Hisham berpendapat pelajar yang terlibat dalam perniagaan juga boleh memanfaatkan kelebihan sebagai seorang pelajar di samping membantu pelajar-pelajar lain selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang mengetengahkan elemen keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
"Dalam hal ini, pelajar yang menjalankan perniagaan di kawasan kampus kebiasaannya akan menjual barang dan perkhidmatan pada kadar mampu milik pelajar.
"Mereka juga kebiasaannya akan mengupah pekerja sambilan dalam kalangan pelajar juga. Ini seterusnya akan memanfaatkan pelajar-pelajar lain dengan kelebihan perniagaan yang dijalankan oleh pelajar sendiri, bertepatan dengan tiga elemen utama yang ingin diserapkan kerajaan menerusi AKM," tambahnya.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang AKM, kerajaan melaksanakan Jelajah AKM sebagai kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Diadakan di 14 lokasi di seluruh negara, Jelajah AKM diisi dengan program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan masyarakat di semua peringkat dapat memahami serta menghayati konsepnya yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, dengan lebih jelas.
Selepas berlangsung di Ipoh, Perak pada awal bulan ini, Jelajah AKM dijadualkan singgah di Kota Bharu, Kelantan selama tiga hari dari 14 hingga 16 Julai ini. - Bernama