JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kini melonjak di tangga teratas dalam senarai kelab paling bernilai di rantau Asia Tenggara dengan nilai dianggarkan 8.65 juta Euro (RM38.9 juta).
Ia menyaksikan JDT mengatasi pencabar terdekat dari Thailand, Buriram United (8.55 juta Euro/ RM38.4 juta) berdasarkan kemas kini terbaharu dikeluarkan laman penilaian bola sepak dari Jerman, Transfermarket.
Kemasukan pemain baharu JDT, Jordi Amat ternyata menjadi titik tolak terbesar peningkatan nilai pasaran skuad Harimau Selatan itu apabila tanda harganya menjangkau angka 1 juta Euro (RM4.5 juta).
Kejayaan JDT mencipta sejarah baharu apabila berjaya layak ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) musim ini turut menarik perhatian beberapa pemain berprofil tinggi.
Nilai pasaran JDT dijangka meningkat musim depan dengan kehadiran pemain berdarah campuran, Dion Cools yang mencipta nama bersama kelab Eropah - Club Brugge dan Midtjylland.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, ‘nilai tinggi’ JDT itu secara tidak langsung akan menarik minat pemain berprofil tinggi untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
"Sejak beberapa musim lalu, JDT sudah membuktikan bahawa kelab Liga-M mampu menarik minit pemain-pemain terbaik dari rantau Asia mahupun Eropah.
"Ia sekali gus membuktikan Liga-M semakin mendapat perhatian pemain berprofil tinggi. Kehadiran mereka akan membantu menjadikan saingan Liga-M lebih kompetitif.
"Malah, kejayaan JDT dalam saingan ACL menambahkan lagi ‘kekuatan’ Liga-M. Ia ditambah pula dengan kejayaan KL City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam Piala AFC.
"Kejayaan yang dicapai ketiga-tiga kelab itu dalam saingan di peringkat Asia menjadikan nilai Liga-M secara tidak langsung akan turut melonjak sama,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Dalam pada itu, Effendi turut mengingatkan dalam usaha meningkatkan nilai kelab masing-masing, faktor kewangan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pemegang taruh terlibat.
"Faktor kewangan ini memang sangat penting jika mahu meningkatkan nilai yang dimiliki sesebuah kelab. Tanpa dana yang mencukupi, agak mustahil untuk kelab berkembang.
"Jadi sesebuah kelab itu perlu memiliki kemampuan kewangan yang stabil. Itu antara elemen utama dalam meningkatkan lagi nilai sesebuah kelab,” jelasnya.