PENYERANG import dari Uruguay, Raul Tarragona tidak lagi bersama The Red Warriors (TRW) selepas hanya dua bulan beraksi bersama pasukan itu dalam saingan Liga Premier musim ini.
Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan TRW dalam satu kenyataan mengumumkan Tarragona tidak lagi bersama skuad Pantai Timur, berkuat kuasa serta-merta semalam.
"Keputusan ini dibuat melalui perbincangan bersama dan mengambil kira pelbagai faktor melibatkan kedua-dua pihak.
"Kelantan Red Warriors (KRW) terpaksa menghormati keputusannya dan melepaskannya dari Kelantan bagi membolehkan dia meneruskan kerjaya bersama pasukan lain," kata kenyataan itu hari ini.
Tarragona antara tiga awang import baharu yang dibawa masuk bersama Flavio Beck Junior (Brazil) dan Mustafa Zazai (Afghanistan) bagi memperkuatkan Kelantan, pada musim ini.
Penyerang berusia 32 tahun itu menandatangani kontrak dengan Kelantan, pada 29 Januari lalu dan beraksi dalam empat perlawanan selain hanya mampu menjaringkan satu gol ketika seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) II, Jumaat lalu.
Menerusi kenyataan itu juga, Tarragona mengucapkan terima kasih kepada seluruh peminat dan penyokong Kelantan yang memberi sokongan sepanjang dia mewakili pasukan tersebut.
"Pihak pengurusan mengucapkan terima kasih di atas sumbangannya membantu pasukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini," katanya.