KUBANG KERIAN - Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) tidak menerima sebarang aduan berkaitan kesalahan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti korban sepanjang tiga hari sambutan Hari Raya Aidiladha.
Yang Dipertua Maik, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berharap orang ramai terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kita juga berharap tiada lagi peningkatan kes walaupun dalam suasana kemeriahan sambutan Aidiladha dan orang ramai tetap patuh SOP," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Persembahan Zakat Korporat Kepada Maik dan Sumbangan Korban Kepada Keluarga Asnaf pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Sementara itu, Amir memberitahu, McDonald's Malaysia kini dalam misinya membantu golongan asnaf di seluruh negara dengan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak golongan berkenaan.
Justeru berkata, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan asnaf dialu-alukan memohon untuk menjadi sebahagian kakitangan McDonalds.
Menurutnya, dalam tempoh lima tahun, McDonald's dijangka membuka 20 lagi restoran di seluruh negeri.
"Insya-ALLAH penambahan restoran ini akan membantu lebih 2,000 anak-anak asnaf yang memerlukan pekerjaan.
"Kita memerlukan 100 peratus anak tempatan di McDonald's dan tiada pekerja asing di rangkaian restoran ini," katanya.
Azmir turut memaklumkan akan membuka dua lagi restoran tahun ini masing-masing di Gua Musang dan Kota Bharu.
Tambah Azmir, McDonald's turut membina 20 unit Rumah Ronald McDonald's di hospital sejak lima tahun sebagai sokongan kepada pesakit.
Katanya, rumah berkenaan mempunyai fasiliti terbaik kepada ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka di hospital terutama yang memerlukan penginapan.
"Tempat penginapan ini dapat mengurangkan beban kewangan penjaga pesakit kerana mereka hanya perlu membayar RM5 sehari," katanya.