KUALA LUMPUR - Rakyat negara ini sekali lagi akan berpeluang menyaksikan fenomena Super Full Moon atau kedudukan bulan paling hampir ke bumi pada jam 5.09 petang Rabu.
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), menerusi portal rasmi pada Selasa memaklumkan, fenomena itu terjadi berikutan kedudukan bulan berada paling hampir dengan bumi atau disebut sebagai perigee dengan jarak adalah 357,263 kilometer (km).
Iklan
Iklan
"Bulan beredar mengelilingi bumi dalam orbit dengan purata nilai keeksentrikan 0.0549. Oleh itu, purata jarak bulan dari bumi (pusat ke pusat) adalah berbeza pada setiap masa dengan jarak purata paling dekat (perigee) adalah 363,396 kilometer (km) dan jarak purata paling jauh (disebut sebagai apogee) adalah 405,504 km.
"Semasa Super Full Moon, bulan penuh boleh kelihatan sehingga tujuh peratus lebih besar daripada bulan penuh biasa, dan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada ‘Micromoon’,” katanya.
Fenomena Super Full Moon telah berlaku pada 14 Jun lalu dan imej berjaya dirakam sistem Teleskop Observatori Negara Langkawi. - Bernama