KUCHING - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menyiasat dakwaan mengenai sekumpulan peladang sawit dari Kalimantan, Indonesia menjual tandan buah segar (TBS) sawit di Sarawak berikutan kejatuhan teruk harga komoditi itu di negara tersebut.
Timbalan Menterinya, Datuk Willie Mongin berkata, tindakan tegas akan diambil jika perkara itu benar-benar berlaku berikutan kementerian tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk mengimport TBS sawit dari negara lain setakat ini.
"Kita tidak boleh berkompromi dalam perkara ini kerana ia boleh menganggu gugat (pendapatan) penanam sawit di negeri kita,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Puncak Borneo dekat sini, pada Selasa.
Ahli Parlimen Puncak Borneo itu mengulas dakwaan yang tular di media sosial yang mendakwa kumpulan peladang itu bertindak sedemikian berikutan harga TBS di negeri ini walaupun turut merosot, namun lebih baik berbanding di Indonesia.
Menurutnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terperinci mengenai aktiviti itu diminta melaporkannya kepada kementerian atau Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk tindakan susulan.
Menyentuh mengenai kejatuhan harga komoditi itu, Willie menasihatkan peladang sawit di negeri ini tidak tergesa-gesa untuk memusnahkan tanaman itu dan menggantikan dengan tanaman komoditi lain.
Beliau berkata, situasi itu bersifat sementara dengan harga TBS dijangka tidak akan kurang daripada RM500 satu tan dan meminta peladang sawit untuk bersabar dan menantikan perubahan positif dalam harga komoditi itu.
Katanya, keputusan Indonesia untuk mengeksport lebih banyak minyak sawit yang menyebabkan peningkatan lambakan komoditi itu di pasaran antarabangsa, selain keadaan pembeli yang masih belum menghabiskan stok lama, antara faktor yang menjejaskan harga minyak sawit.
"(Jangkaan bila harga sawit akan kembali meningkat) Itu saya tidak boleh nak cakap, tetapi saya harap ia pulih dengan segera,” katanya. - Bernama