Bank Rakyat, USM terus perkukuh kerjasama

Iklan
Sumbangan RM10,000 diserahkan kepada Pusat Islam Universiti Sains Malaysia bagi menyokong pembangunan aktiviti pengimarahan institusi Islam.

BANK Rakyat dan Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kerjasama bagi mendukung aspirasi tanggungjawab sosial demi membangunkan komuniti universiti dan masyarakat untuk memenuhi keperluan pendidikan ‘Keluarga Malaysia’.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, Bank Rakyat dan USM memperkukuh ukhuwah yang sedia terjalin demi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam inisiatif kerjasama yang memanfaatkan komuniti universiti dan masyarakat sekitar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia seiring dengan Pelan Strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dalam menjadikan Bank Rakyat sebagai Bank pilihan untuk majoriti institusi pengajian tinggi di Malaysia.

"Bank Rakyat dan USM berhasrat untuk merealisasikan aspirasi yang menjadi teras kepada kerjasama ini menerusi perkongsian ilmu dan kemahiran, penawaran produk dan perkhidmatan serta pendekatan konsep perniagaan kepada warga USM.

Iklan

"USM telah menjalin hubungan dengan Bank Rakyat sejak tahun 2009 menerusi produk dan perkhidmatan perbankan Islam antaranya seperti Akaun Deposit Berjangka-i, Pembiayaan-i dan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban serta Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah," katanya sempena Majlis Aspirasi Bank Rakyat dan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Konvokesyen Diploma Profesional Pengurusan Strategik Ar-Rahnu baru-baru ini.

Pada majlis sama, turut diraikan seramai 30 graduan Program Diploma Profesional Pengurusan Strategik Ar-Rahnu, USM yang terdiri daripada warga kerja anak syarikat Bank Rakyat yang mengendalikan perniagaan Ar-Rahnu iaitu Rakyat Management Services (RMS) serta warga kerja perkhidmatan francais Ar-Rahnu di bawah RMS iaitu Ar-Rahnu X’Change.

Iklan

Program pengajian ini memberi tumpuan kepada bidang berkaitan Kewangan Islam dan Ar-Rahnu (prinsip dan amalan), Pengurusan dan Tadbir Urus, Komunikasi Perniagaan, Perakaunan untuk Membuat Keputusan dan Pemasaran Strategik.

Selain itu, Bank Rakyat turut memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Pusat Islam Universiti Sains Malaysia bagi menyokong pembangunan aktiviti pengimarahan institusi Islam menerusi penganjuran majlis ilmu dan program yang bermanfaat untuk warga USM dan masyarakat setempat.

Sementara itu, Abd Rani berkata, Bank Rakyat bakal melancarkan Bank Rakyat UNIpreneur 2.0 dalam masa terdekat bagi memperkasakan lagi usahawan terutamanya usahawan siswa sejajar dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membangunkan ‘Keluarga Usahawan’.

"Kami berharap agar dapat menyediakan lebih banyak program kerjasama dengan USM pada masa hadapan dan semoga aspirasi ini dapat direalisasikan, lantas memberi impak yang jitu demi kemajuan sosial dan kemakmuran bersama," katanya.