Lebih banyak pelaburan dari China dalam ekonomi digital dialu-alukan

Iklan
Saifuddin (kanan) bersama Wang Yi ketika sidang media selepas menghadiri mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari China dalam bidang ekonomi digital, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, pada Selasa, beliau menekankan mengenai kepentingan kedua-dua negara bekerja lebih rapat dalam bidang berkaitan ekonomi digital serta kerjasama antara syarikat telekomunikasi.

Iklan
Iklan

"Saya tertarik dengan pandangan Tuan Yang Terutama (Wang) bahawa kita menjadikan ekonomi digital sebagai premium, untuk mengorak langkah ke hadapan bagi membina semula ekonomi dan mengekalkan pertumbuhan masa depan kita,” katanya selepas pertemuan dua hala dengan Wang, di sini.

Wang yang juga Ahli Dewan Negara China dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Isnin.

Iklan

Menyifatkan pertemuan itu sangat mesra dan berhasil, Saifuddin berkata, tahun depan menandakan Ulang Tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) kedua-dua negara dan kedua-dua pihak bersetuju untuk memperingati peristiwa penting itu.

Kedua-dua pihak juga mengharapkan lebih banyak lawatan peringkat tinggi pada tahun-tahun akan datang dan memupuk lagi saling percaya antara kedua-dua negara.

Iklan

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertemu Wang pada Selasa telah menyatakan minat untuk melawat China jika keadaan mengizinkan.

Saifuddin berkata, konsep"Komuniti Masa Depan Bersama", cetusan idea Presiden Xi Jinping, sejajar dengan konsep"Dunia adalah Keluarga" yang diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia.

"Malaysia menyambut baik inisiatif China untuk menggalakkan keterbukaan, keterangkuman dan saling menghormati, dan secara prinsipnya kami menyokong konsep itu," katanya.

Saifuddin berkata, mereka turut membincangkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI); projek"Taman Berkembar Dua Negara"; projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL); dan kerjasama Lembah Automotif Berteknologi Tinggi.

"Seperti yang kita semua tahu ECRL adalah projek yang akan direalisasikan dan kami sudah pun memulakannya. Di bawah projek taman berkembar, sekali lagi, China meraikan Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia melalui MITI dan Kerajaan Negeri Pahang sedang membuat persiapan menyambut Ulang Tahun ke-10 taman perindustrian kembarnya, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), yang akan disambut pada 2023.

Saifuddin berkata, beliau dan Wang turut membincangkan perkara berkaitan hubungan antara ASEAN dan China sebagai rakan dialog, khususnya mengenai CSP antara kedua-dua pihak.

"Bagaimana kita menjadikan CSP berfungsi dengan lebih baik. Bagaimana kita mengusahakan idea pembangunan bersama mengenai keselamatan makanan dan meluaskan Kawasan Perdagangan Bebas,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin dan Wang menyaksikan penyerahan dokumen antara Pentadbiran Meteorologi China dan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai CMAcast, sebuah sistem yang menggunakan teknologi Penyiaran Video Digital satelit China untuk menghantar data meteorologi, dan menandatangani Memorandum Persefahaman antara Sistem Penyiaran Hunan dan Media Prima Omnia Sdn Bhd. - Bernama