China akan percepat perundingan kod Tatalaku di Laut Cina Selatan

Iklan
Wang Yi (tengah) ketika menghadiri mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China di Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Negara China yang juga Menteri Luar, Wang Yi berkata, China akan mempercepat perundingan mengenai kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan kerjasama dan keamanan.

"Kami akan menyokong multilateralisme sebenar dan memajukan rantau yang terbuka. Kami akan menegakkan kepaksian ASEAN dan Rangka Kerja Kerjasama Serantau ASEAN.

Iklan
Iklan

"Kami akan menentang konfrontasi dan mentaliti perang dingin," katanya merujuk kepada laut yang menjadi pertikaian itu dalam sidang media bersama dengan Saifuddin selepas mesyuarat berkenaan, di sini Selasa.

COC bertujuan untuk mengurangkan risiko konflik di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, dengan beberapa negara anggota ASEAN dan China terlibat dalam tuntutan wilayah yang bertindih.

Iklan

Wang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai Isnin.

Beliau berkata, Malaysia menjadi persinggahan terakhir dalam rangka lawatannya ke lima negara Asia Tenggara dari 3 hingga 14 Julai. Empat negara lain ialah Myanmar, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Iklan

Sepanjang lawatannya, Wang berkata, beliau amat merasakan aspirasi negara-negara di rantau ini untuk keamanan dan pembangunan serta persahabatan yang mendalam antara rakyat China dan negara-negara ASEAN.

"Dan saya amat merasakan keperluan mendesak dan prospek yang cerah untuk meningkatkan kerjasama antara China dan ASEAN.

"Rakyat China dan negara-negara ASEAN telah berinteraksi antara satu sama lain selama lebih beribu tahun dan tiada siapa boleh memisahkannya. Tiada siapa boleh menghalang kita daripada mara ke arah pembangunan dan multilateralisme,” katanya.

Wang berkata, China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara ASEAN yang lain untuk memperdalam kepercayaan bersama yang strategik dan meningkatkan penyelarasan strategik, dan bekerjasama untuk menegakkan kestabilan serantau dan menggalakkan pembangunan bersama.

Mengenai hubungan China-Malaysia, beliau berkata, kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) tahun depan dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.

Wang berkata, beliau berada di sini untuk meneliti semula aspirasi serantau kedua-dua negara, kemajuan dan pencapaian masa lalu serta bekerjasama dengan pihak Malaysia untuk menetapkan matlamat baharu bagi hubungan, mengenal pasti keutamaan baharu dan membawa kerjasama kedua-dua negara ke tahap baharu. - Bernama