Tiada layanan VIP!

Iklan
Orang ramai sanggup beratur panjang untuk mengadakan ‘lawatan’ ke istana presiden tersebut.

Presiden Sri Lanka masih terkandas di lokasi rahsia, gagal larikan diri ke UAE

COLOMBO - Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa berdepan insiden memalukan ketika pemimpin yang berdepan desakan rakyat untuk meletak jawatan itu cuba melarikan diri ke luar negara pada Selasa.

Sumber rasmi memaklumkan pegawai imigresen enggan ke suite VIP yang menempatkan Rajapaksa untuk mengecop pasport miliknya selepas beliau bimbang dikasari pengguna lapangan terbang lain jika menggunakan kaunter awam.

Iklan
Iklan

Rajapaksa, 73, bersama isterinya dilaporkan terpaksa bermalam di sebuah pangkalan tentera yang terletak bersebelahan dengan lapangan terbang antarabangsa utama setelah beliau terlepas empat penerbangan untuk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Adik bongsunya, Basil yang meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan pada April lalu juga berdepan ‘layanan’ sama daripada staf premis berkenaan.

Iklan

Basil yang memiliki dwikerakyatan dikatakan cuba menggunakan perkhidmatan berbayar untuk pengembara perniagaan, namun kakitangan di lapangan terbang memberi alasan mereka telah menarik balik perkhidmatan laluan pantas itu berkuat kuasa serta-merta.

"Terdapat juga beberapa penumpang lain yang enggan menaiki penerbangan bersama Basil ke Dubai. Beliau akhirnya meninggalkan lapangan terbang tersebut secara tergesa-gesa selepas situasi menjadi agak tegang,” kata seorang pegawai di lapangan terbang berkenaan.

Iklan

Pada Isnin, Gotabaya sekali lagi berjanji untuk meletak jawatan pada Rabu bagi membuka jalan untuk peralihan kuasa secara aman setelah kediaman rasminya di Colombo kini ‘ditawan’ kumpulan penunjuk perasaan yang bertindak nekad menyerbu masuk pada Sabtu lalu.

Gotabaya Rajapaksa

Sebagai presiden, beliau masih dilindungi imuniti dan pemimpin tersebut dipercayai mahu segera meninggalkan negara itu kerana bimbang jika ditahan pihak berkuasa kerana berdepan desakan rakyat.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pejabat presiden tentang lokasi sebenar pemimpin berkenaan yang masih kekal memegang kuasa sebagai ketua komander angkatan tentera.

Satu-satunya cara untuk beliau keluar dari Colombo adalah dengan menaiki kapal tentera laut ke India atau Maldives.

Tetapi, sanggupkah Gotabaya melalui perjalanan agak mencabar demi untuk melarikan diri ke luar negara?

Jika beliau menunaikan janjinya kepada rakyat untuk berundur, perdana menteri, Ranil Wickremesinghe secara automatik akan dilantik sebagai pemangku presiden sehingga Parlimen melantik mana-mana ahli dewan tersebut untuk menghabiskan baki penggal pentadbiran yang berakhir pada November 2024.

Tertinggal wang tunai, dokumen

Dalam perkembangan berkaitan, jutaan wang tunai dalam mata wang rupee yang ditinggalkan Rajapaksa ketika beliau meninggalkan kediaman rasminya diserahkan kepada mahkamah.

Sebanyak 17.85 juta rupee (RM22,000) wang kertas baharu ditemui peserta protes selepas mereka menyerbu masuk istana presiden berusia dua abad berkenaan.

Selain itu, sebuah beg pakaian mengandungi pelbagai dokumen juga ditinggalkan pemimpin tersebut.

Rajapaksa didakwa terlibat salah urus ekonomi hingga menyebabkan negara itu kehabisan pertukaran wang asing untuk membiayai import paling penting yang akhirnya menjerumuskan negara berpopulasi 22 juta penduduk itu ke dalam krisis terburuk.

Sri Lanka turut gagal melunaskan hutang asing berjumlah AS$51 bilion (RM226.3 bilion) pada April hingga mengakibatkan negara itu terpaksa memohon bantuan pinjaman daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sejak beberapa bulan lalu, negara kepulauan itu berdepan krisis bekalan bahan api yang membebankan penduduk malah pemerintah hanya mengambil langkah mengarahkan penutupan pejabat, agensi tidak penting dan sekolah semata-mata untuk mengurangkan penggunaan pengangkutan demi penjimatan petrol. - AFP COLOMBO