Bukan misi mustahil, jangan ulangi kesilapan

Iklan
Skuad Harimau Muda yang menggalas cabaran Malaysia di Kejuaraan AFF B-19 2022. - Foto FAM

SKUAD Bawah-19 (B-19) tahun negara diingatkan tidak mengulangi kesilapan apabila turun menentang Vietnam dalam aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-19 2022 di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, Indonesia pada Rabu.

Pengendali negara, Hassan Sazali Waras berkata, anak-anak buahnya harus belajar daripada kekalahan 0-1 kepada Laos dalam aksi terakhir Kumpulan B di venue sama pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Harimau Muda mampu mengejutkan Vietnam jika tidak lagi mengulangi kesilapan sama seperti mana ketika aksi menentang Laos.

"Saya harap kekalahan kepada Laos dapat dijadikan sebagai satu pengajaran kepada setiap pemain negara supaya kesilapan ini tidak akan berulang ketika menentang Vietnam.

Iklan

"Kalau kita lihat, mereka bermain agak sambil lewa walaupun menguasai perlawanan secara keseluruhannya. Mereka tidak menggunakan peluang ada dengan sebaiknya.

"Jadi saya akan cuba perkemaskan kembali setiap posisi terutama serangan supaya pasukan dapat mencipta kemenangan seterusnya layak ke final,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Iklan
Skuad Harimau Muda yang menggalas cabaran Malaysia di Kejuaraan AFF B-19 2022. - Foto FAM

Hassan memberitahu, selain mahu memperkuatkan jentera serangan, beliau juga agak memberi tumpuan penuh untuk meningkatkan mentaliti anak-anak buahnya sebelum berdepan Vietnam.

"Apabila berdepan pasukan hebat seperti Vietnam, saya bukan saja memerlukan pemain yang cergas dari segi fizikal, tetapi mental juga perlu berada pada tahap tertinggi.

"Malah, mereka bukan saja harus bersedia bermain dalam tempoh 90 minit, tetapi perlu bersedia jika perlu bermain dalam masa tambahan ataupun penentuan sepakan penalti,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau mengakui Vietnam bakal tampil sebagai pasukan pilihan bersandarkan kepada rekod yang dimiliki skuad Naga Emas itu sebelum ini.

"Dari segi corak permainan dan juga taktikal, Vietnam tampak lebih efektif. Mereka juga ada pemain muda berbakat yang menyarung jersi nombor 14 (Nguyen Van Truong).

"Jadi saya harap barisan pertahanan mampu menghalang pemain itu daripada melakukan hantaran-hantaran berbahaya sehingga memberi kesukaran kepada kami,” ujarnya.