PEMAIN tengah Manchester City, Rodri menandatangani kontrak baharu bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus menyaksikan tonggak Sepanyol tersebut kekal di Etihad sehingga 2027.
Lanjutan tiga tahun itu menyusul selepas skuad kendalian Pep Guardiola membawa masuk pemain tengah England, Kalvin Phillips bagi menggantikan pemain veteran Fernandinho.
Rodri menyertai Manchester City pada 2019 dari Atletico Madrid dalam perjanjian bernilai sekitar 50 juta pound (RM263 juta) telah memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris.
"Kami mencipta pelbagai siri kejayaan sejak saya datang ke sini, dan ini sesuatu yang membanggakan saya. Namun sejujurnya, kejayaan itu membuatkan saya lebih lapar. Apabila anda mula memenangi gelaran besar, anda tidak mahu berhenti.
"City, menawarkan saya peluang terbaik untuk memenangi trofi dan itulah sebabnya saya teruja tinggal lebih lama di sini,” kata Rodri.
Sementara itu, Pengarah Bola Sepak City, Txiki Begiristain mengakui gembira dengan komitmen pemain berusia 26 tahun tersebut untuk kekal bersama The Citizens.
"Rodri contoh yang sempurna apabila memperkatakan mengenai profesionalisme. Dia mempunyai sikap yang hebat, menjalani kehidupan dengan cara yang betul, menjaga tubuhnya dan berlatih bersungguh-sungguh setiap hari. Inilah pemain impian setiap pengurus, dan saya tahu Guardiola suka bekerja dengannya.
"Rodri banyak meningkat sejak datang ke sini dan, bagi saya, dia merupakan antara pemain terbaik dunia pada masa ini,” katanya.