SHAH ALAM - Hukum gurauan secara asalnya dibenarkan, namun ia menjadi haram sekiranya mengandungi unsur seperti mempermainkan agama Islam sama ada dari sudut kepercayaan, syiar ataupun amalan.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, bentuk-bentuk gurauan pada masa kini antaranya prank, karikatur, parodi, satira dan komedi.
Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada hukum asal iaitu dibenarkan melainkan jika terdapat perkara yang bercanggahi syariat.
"Jika ia bertujuan membawa kepada kebaikan dan dilakukan dengan cara yang baik seperti untuk menjalinkan hubungan yang lebih akrab, pendidikan yang berkesan atau segala maksud yang baik, maka ia boleh mendatangkan pahala,” katanya yang berkongsikan fatwa berkaitan gurauan menerusi Twitter rasminya pada Rabu.
Fatwa tersebut juga diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53 yang mana berlangsung pada 23 Jun hingga 24 Jun tahun lalu.
Antara unsur lain yang turut menjadi haram ialah memperlekeh atau merendahkan orang lain dalam perkara dan bentuk yang tidak wajar, mereka-reka sesuatu yang tidak wujud yang membawa keburukan serta mendatangkan mudarat kepada pihak lain sama ada dari segi fizikal, emosi, maruah, harta atau ketenteraman individu atau masyarakat.
Selain itu, perlakuan maksiat, dosa dan kemungkaran serta bahasa dan perlakuan yang tidak wajar menurut uruf.
Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat supaya mementingkan sifat kesederhanaan, keseimbangan, dan kesesuaian sebagaimana yang dianjurkan di dalam agama, termasuk dalam permasalahan gurauan.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan wanita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, membuat persembahan di sebuah kelab komedi sambil menghina agama Islam.
Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.
Perbuatannya itu telah mendapat sorakan dan gelak tawa dalam kalangan penonton kelab berkenaan.