KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang wanita yang membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Rabu, atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam, bulan lepas.
Bagaimanapun, Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.
Perbuatan itu menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama dalam kalangan penganut agama Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 6 petang, 4 Jun lepas mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sebelum, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin.
"Sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin, pihak kami mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin tempatan kerana kes tersebut telah mendapat perhatian masyarakat awam secara meluas.
"Jumlah ikat jamin yang rendah akan menjejaskan pandangan orang awam terhadap badan kehakiman," katanya.
Najihah turut memohon beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis sehingga kes selesai, pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain perintah larangan untuk membuat sebarang kenyataan di media sosial dan media cetak berhubung kes itu.
Peguam R. Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih bujang dan kini bekerja sebagai eksekutif di syarikat teknologi maklumat, tidak mampu membayar jaminan tinggi.
"Tiada kebarangkalian anak guam saya akan melarikan diri kerana dia telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang tempoh reman selama empat hari.
"Anak guam kami juga bersedia menerima syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah sekiranya jaminan dibenarkan," katanya yang turut dibantu peguam Datuk Shaharudin Ali.
Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan wanita itu perlu melaporkan diri di Balai Polis Brickfields sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
"Tertuduh juga dilarang memuat naik sebarang kandungan mengenai kes ini di mana-mana platform media sosial dan media cetak," katanya.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sebuah video berdurasi 54 saat tular di media sosial minggu lepas, dengan wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, kemudian bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata sehingga mengundang pelbagai komen netizen. -Bernama