KUALA LUMPUR - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM) untuk bekerjasama melahirkan lebih ramai pakar perubatan keluarga Bumiputera.
Menerusi kerjasama tiga tahun itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk membolehkan pengamal perubatan am atau pegawai perubatan Bumiputera bertaraf tetap mahupun kontrak mendaftar dalam program Latihan Lanjutan dalam Perubatan Keluarga AFPM dengan sebahagian pembiayaan daripada Yayasan Peneraju.
Iklan
Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Dr Mohd Muzzammil Ismail berkata, pihaknya percaya terdapat keperluan bagi meningkatkan kualiti penyampaian penjagaan kesihatan berikutan pertumbuhan penduduk yang pesat dan peningkatan penyakit di negara ini.
"Kami berharap jalinan kerjasama ini dapat menyokong inisiatif kami untuk menambah bilangan pakar perubatan keluarga, seterusnya mengukuhkan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan (2016-2020),” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Sementara itu, Presiden AFPM Datuk Dr Lee Cheng Yew menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Peneraju dalam menjayakan kerjasama tersebut.
"Kerjasama ini juga menjadi penyelesaian yang amat diperlukan bagi menangani kekurangan pakar perubatan keluarga di negara ini dan pada masa sama meningkatkan tahap penjagaan dalam amalan perubatan keluarga,” tambahnya. - Bernama