PASIR SALAK - Produk pelancongan warisan yang terbiar di Kampung Gajah, di sini perlu dipulihara segera bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Orang Besar Jajahan (OBJ) Perak Tengah, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan berkata, pihak berkaitan yang bertanggungjawab terhadap beberapa lokasi warisan sejarah di sini perlu memikirkan sesuatu agar kemudahan sedia ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Menurutnya, pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini juga perlu mengambil kira pembangunan pelancongan warisan yang ada seperti Kompleks Sejarah Pasir Salak, Galeri Sejarah Negeri Perak, Rumah Dato' Maharaja Lela dan beberapa tapak warisan yang harus dipelihara.
"Pada saya, banyak produk lama, bangunan lama yang terbiar. Nak pulih ke tak nak pulih, apa sebenarnya kita nak buat? Kalau biar begitu lama-lama jadi reput. Buat satu keputusan sama ada nak pulihkan atau tidak.
"Orang pun takut nak ambil gambar. Kita nak tengok tak boleh. Sepatutnya sebagai OBJ bolehlah diberi melawat tengok tapi OBJ sendiri pun tak boleh nak tengok apa keadaan.
"Jadi macam mana saya nak buat laporan? Saya datang melawat dan saya boleh menegur sebagai OBJ," katanya kepada pemberita ketika melawat beberapa produk pelancongan di sekitar Kampung Gajah, di sini pada Rabu.
Dalam tinjauan bersama media itu, Ab Wahab dihalang untuk memasuki kawasan replika Rumah Dato' Maharaja Lela dan Galeri Sejarah Negeri Perak oleh pengawal keselamatan atas alasan tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Muzium Negeri Perak.
Beliau turut meninjau keadaan sebuah resort bersebelahan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang terbiar sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, bangunan yang telah dibina dengan baik tidak seharusnya dibiarkan begitu lama sekali gus gagal dimanfaatkan untuk pembangunan penduduk setempat.
Katanya, bangunan yang terbiar itu sedikit sebanyak memberikan persepsi negatif terhadap pelancong yang berkunjung ke kawasan tersebut.