KUALA LUMPUR - Seramai 12 atlet karate kebangsaan yang berjaya merangkul pingat di Sukan SEA Hanoi Mei lepas, ‘naik pangkat’ apabila diluluskan untuk diserap ke Program Podium.
Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ia merupakan tambahan kepada lapan atlet karate sedia ada di bawah program kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) itu.
Beliau yang ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja dengan MSN, pada Rabu, berkata Makaf juga telah memberikan amaran terakhir kepada tiga atlet karate lelaki dan dua atlet karate wanita untuk memperbaiki prestasi sebelum hujung tahun ini atau disingkirkan daripada pasukan kebangsaan.
Katanya, prestasi mereka akan dinilai berdasarkan beberapa kejohanan akan datang termasuk Kejohanan Kadet, Remaja dan Bawah-21 Persekutuan Karate Dunia di Turkiye bermula 26 hingga 30 Oktober dan Kejohanan Asia bermula 16 hingga 20 Disember ini.
"Atlet-atlet ini pernah menyumbang pingat kepada negara sebelum ini tetapi prestasi (mereka) baru-baru ini tidak memuaskan. Jadi sekiranya mereka mahu kekal berada dalam pasukan kebangsaan, mereka kena capai sasaran yang diberikan dan hanya boleh kembali jika prestasi mereka meningkat.
"Kita hanya nak kekalkan atlet yang mampu mempamerkan prestasi yang baik. Kita tidak mahu kompromi dengan mana-mana atlet yang tak perform,” katanya tanpa mendedahkan nama atlet tersebut.
Pada Sukan SEA Hanoi, skuad karate negara membawa pulang empat pingat emas menerusi acara kumite dan enam gangsa iaitu tiga daripada acara kumie dan tiga acara kata.
Ditanya mengenai laporan bedah siasat Sukan SEA, Nur Azmi, yang merupakan Ketua Kontinjen (CDM) ke Hanoi berkata aspek keraguan disabotaj tuan rumah antara perkara yang ditekankan dalam laporan tersebut.
"Sebagai CDM...(saya) kena fikir dari segi sabotaj terhadap atlet yang berpotensi contohnya macam kuartet renang 4X100m gaya bebas lelaki dan pelari pecut 100m lelaki (Muhammad Azeem Fahmi) yang false start manakala jaguh bina badan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah tiba-tiba positif Covid-19 selepas tiba walaupun telah kuarantin di MSN sebelum bertolak.
"Di sebalik memburu pingat, CDM untuk edisi seterusnya juga harus tahu perkara-perkara teknikal ini supaya dapat menguruskannya dengan baik,” katanya. - Bernama