ISKANDAR PUTERI - Penerima Bantuan Pasangan Raja Sehari di bawah program Bantuan Kasih Bangsa Johor yang menerima RM1,000 menyifatkan sumbangan itu amat tepat dalam keadaan harga barang dan kos penganjuran perkahwinan meningkat ketika ini.
Hafzainizal Jamin, 36, yang baru mendirikan rumah tangga pada 18 Jun lalu mengakui sumbangan itu amat bermakna buat dia dan isteri, Shaidatul Akmal Sharudin, 30, lebih-lebih masih belum mempunyai pekerjaan tetap.
"Bantuan ini amat besar maknanya buat kami, kerana saya telah kehilangan pekerjaan di Pelabuhan Johor ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan sehingga kini masih lagi mencari pekerjaan tetap.
"Jadi sumbangan ini akan kami gunakan sebaiknya, khususnya untuk membeli barangan keperluan harian, sekiranya ada lebih akan disimpan untuk kegunaan lain," katanya ketika ditemui dalam program Bantuan Pasangan Raja Sehari di Kota Iskandar di sini pada Rabu.
Sumbangan replika cek untuk program itu disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan turut dihadiri Exco Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khaled serta Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.
Shaidatul yang menetap di Taman Kota Masai, Pasir Gudang dan merupakan seorang suri rumah berkata, mereka akan memastikan wang berkenaan digunakan sebaik-baiknya untuk keluarga.
Bagi pasangan baharu berkahwin, Jason Tio, 29, yang bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan pula berkata, dia dan isterinya, Lyra Lew, 30, akan menyimpan wang berkenaan untuk kegunaan pendidikan buat anaknya kelak.
"Kami sudah berkenalan sejak enam tahun lalu ketika belajar bersama sama-sama di universiti, namun baharu sahaja melangsungkan perkahwinan pada Mei tahun ini.
"Ini kerana kekangan ekonomi, kami membuat keputusan untuk mengadakan majlis makan secara ringkas bersama keluarga kedua-dua belah pihak kerana mahu menjimatkan wang," katanya.
Dia merasakan banyak wang perlu digunakan setelah berkahwin dan sumbangan yang diterima ini akan disimpan dalam bank terlebih dahulu.
Perkara itu turut diakui Lyra yang sedang mencari pekerjaan baharu setelah kehilangan kerja ketika tempoh pandemik Covid-19 baru-baru ini.
"Kami amat berterima kasih dengan bantuan ini, ianya merupakan satu program yang cukup baik dan diharapkan lebih ramai pasangan baharu akan mendaftarkan diri," katanya.
K Ashwaene, 29, yang baharu melangsungkan perkahwinan dengan suaminya, R B Ramkumar, 39, pada 29 April lalu berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan tersebut.
"Saya seorang suri rumah, manakala suami pula masih mencari pekerjaan baharu di Singapura selepas dihentikan kerja dari syarikat lama ketika tempoh pandemik Covid-19 lalu.
"Kami amat gembira kerana menerima sumbangan ini yang turut melibatkan semua kaum di negara ini, pastinya program seperti ini akan turut memupuk perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat," katanya.
Dia yang menetap di Permas Jaya, Johor Baharu akan menggunakan wang berkenaan untuk membeli keperluan harian keluarga.