ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak mempunyai maklumat berkaitan kemungkinan terdapat lagi beberapa ‘bom jangka’ yang boleh menjadi pencetus kejadian kepala air di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya terdapat laporan yang menjurus kepada kemungkinan tersebut, tindakan segera dilakukan bagi mengekang kejadian kepala air di Gunung Inas, Baling dan Gunung Jerai di Yan daripada berulang.
"Saya tidak pasti di mana ada lagi ‘bom jangka’ yang dimaksudkan, kalau ada saya akan selesaikan segera.
"Umpama ‘bom jangka’ sebenar, saya akan matikan segera dengan potong 'wayar' tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas pra pelancaran Kulim Smartparking Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat sebelum ini berlaku beberapa insiden kepala air berskala kecil di Sungai Sedim, Kulim, namun tidak mengakibatkan bencana besar.
"Yang saya tahu berlaku kepala air di Sungai Sedim cuma tiada sehingga kehilangan nyawa.
"Arus sungai situ memang deras dan berpunca daripada bukit. Ia berlaku beberapa kali sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Kedah memberi amaran kemungkinan terdapat beberapa lagi ‘bom jangka’ yang perlu ditangani segera oleh kerajaan negeri bagi mengelak tragedi kepala air berulang.
Penyelaras Latihan GRASS Kedah, Mohd Sobri Ramlee berkata, hasil pemerhatian mendapati beberapa kawasan lain mungkin bakal mengalami nasib sama seperti Kampung Iboi, Baling sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan.
Antara kawasan berisiko katanya, Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik sekitar laluan Sungai Chepir dan Kampung Charok Tok Pong serta kompleks Hutan Simpan Ulu Muda sekitar Kampung Lentang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang Muda, yang terkesan akibat aktiviti pembalakan dan pengambilan pasir di hulu sungai.
Mengulas mengenai cadangan menubuhkan sebuah jawatankuasa bipartisan diwakili kerajaan, pembangkang dan entiti bebas untuk mencari penyelesaian isu Gunung Inas, Muhammad Sanusi tegaskan, ia tiada keperluan susulan jawatankuasa dianggotai agensi kerajaan memiliki pelbagai kepakaran.
"Tak perlulah, kita ada laporan daripada pelbagai agensi kerajaan yang miliki kepakaran masing-masing, mereka sedang menyiapkan laporan berkaitan punca dan penyelesaian bencana tersebut,” katanya.
Sebelum ini, perkara itu dibangkitkan oleh bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah), Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin setelah pelbagai pihak saling tuding menuding berhubung bencana kepala air yang berlaku Isnin lalu.
Pada Selasa, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa syarikat ECK Group diberikan kebenaran menanam durian di Gunung Inas ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang ketika itu ditadbir oleh Ahmad Bashah antara 2016 hingga 2018.
Sebelum itu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, kelulusan ladang hutan untuk tanaman getah jenis timber latex clon (TLC) di Gunung Inas dilakukan pada era pemerintahan BN pada 2007, bukannya oleh kerajaan Pas pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak selain mendakwa penebangan balak dilakukan antara tahun 2018 dan 2019.