Rangka Tindakan Perumahan 3.0 dirangka berteraskan 3P

Iklan
Perdana Menteri turut melancarkan buku Coffee Table selepas merasmikan majlis pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Rangka Tindakan Perumahan 3.0 (BP3.0) Kementerian Pertahanan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dirangka berteraskan tiga aspirasi utama (3P).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata 3P itu melibatkan Pembinaan Perumahan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (RKMAT), Penyelenggaraan Perumahan untuk Warga Kerja Pertahanan dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pemilikan Rumah Untuk Warga Kerja Pertahanan dan Veteran.

Iklan
Iklan

"Rangka Tindakan Perumahan 3.0 tidak terhasil dalam satu malam dan banyak kerja yang perlu dibuat. Antaranya kita meneliti secara terperinci seterusnya mengambil kira pelbagai dasar dan polisi.

"Bukan sahaja Pelan Strategik dan Kertas Putih Pertahanan MINDEF, tidak hanya Perintah Am Angkatan Tentera dan Perintah Angkatan Tentera tetapi juga Rancangan Malaysia Ke-12 serta Garis Panduan dan Peraturan Bagi Perancangan Bangunan yang ditetapkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran BP3.0 Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira ATM di sini.

Hishammuddin berkata terdapat tiga perkara dalam BP3.0 yang membezakannya dengan dua lagi Rangka Tindakan Perumahan sebelum ini, yang pertama ia mempunyai Pelan Pengurusan Risiko dari sudut sumber, tadbir urus dan kumpulan sasar.

Iklan

"Ini bermakna sekiranya terdapat kekangan pada masa hadapan daripada sudut kewangan, tanah, berlakunya ketidakpatuhan kontraktor, terjadinya perubahan polisi dan pelbagai lagi bentuk risiko, kita telah ada perancangan untuk menanganinya,” katanya.

Kedua ialah kaedah pembiayaan baharu RKMAT iaitu semua proses perancangan, pembinaan sehingga penyerahan unit RKMAT kepada MINDEF dicadang dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ketiga, melibatkan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang akan mewujudkan kuota khas untuk warga pertahanan termasuk veteran ATM bagi setiap projek pembangunan rumah mampu milik KPKT.

Rangka Tindakan Perumahan 1.0 diperkenal pada 2017 manakala Rangka Tindakan Perumahan 2.0 pada 2019.

Hishammuddin berkata setakat ini, sebanyak 4,200 unit RKMAT baharu berjaya disiapkan dan diduduki sejak pelancaran Rangka Tindakan Perumahan 1.0 selain 552 unit RKMAT lagi dijangka siap serta boleh diduduki selewat-lewatnya pertengahan dan penghujung tahun ini.

Dari sudut rumah mampu milik pula, beliau berkata sebanyak 3,500 unit Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sungai Besi sedang giat dibina dan dijangka siap pada 2025.

"Ia tidak termasuk 6,400 unit di Kem Genting Klang dan 974 unit Kem Wardieburn yang turut bakal dibina,” katanya.

Beliau berkata di bawah inisiatif Perumahan Veteran ATM pula, sebanyak 225 unit kediaman veteran ATM telah dibaik pulih tahun lepas manakala 28 lagi binaan baharu.

"Saya sedar dan tidak menafikan mempertahan kedaulatan pertiwi memerlukan aset canggih dan strategi ampuh.

"Namun secanggih mana aset dan seampuh mana strategi sekali pun, yang penting ialah para perajurit kita bertugas dengan moral dan semangat yang tinggi, berjuang dengan tenang kerana mereka tahu keluarga yang ditinggalkan berada dalam kediaman yang kondusif, selesa dan selamat,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut melancarkan buku mewah bertajuk ‘Ismail Sabri Yaakob: Teraju Keselamatan Depani Ancaman Covid-19’ karya Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri Datuk Ruhaidini Abd Kadir. - Bernama

Ismail Sabri turut melancarkan buku mewah bertajuk ‘Ismail Sabri Yaakob: Teraju Keselamatan Depani Ancaman Covid-19’ karya Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri Datuk Ruhaidini Abd Kadir.