Malaysia sasar 35 emas di temasya AUG

Iklan
Noraini (tengah) bergambar bersama kontinjen Malaysia yang akan membawa cabaran Malaysia di temasya AUG

KONTINJEN Malaysia meletakkan sasaran 35 pingat emas di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) yang akan berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand bermula 26 Julai hingga 6 Ogos ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, seramai 275 atlet akan menggalas cabaran negara dalam 19 daripada 23 acara yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.

Iklan
Iklan

"Pada AUG di Thailand, saya umumkan sasaran kita kali ini adalah 35 pingat emas seperti di Myanmar 2018, dan saya berharap kita dapat memperbaiki pencapaian terbaik kita secara keseluruhan.

"Malang sedikit kita terpaksa melepaskan sekurang-kurangnya enam atlet IPT yang kita sasarkan pingat emas di Ubon ini untuk beraksi di Sukan Komanwel, Birmingham yang berlangsung serentak.

Iklan

"Bagaimanapun, saya yakin, dengan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi, sasaran ini tidak mustahil untuk dicapai. Terus pamerkan aksi, cipta kecemerlangan sukan negara di persada Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG, Profesor Dr Mohd Fo'ad Sakdan yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) di Putrajaya, pada Rabu.

Iklan

Pada edisi lalu, Malaysia berjaya mengutip 37 pingat emas sekali gus melepasi sasaran awal 35 di samping turut membawa pulang 43 perak dan 49 gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Thailand dan Indonesia.

Pada majlis tersebut, Noraini turut menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM135,000 kepada 98 atlet institut pengajian tinggi yang menyumbang pingat emas, perak dan gangsa di temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas.

Atlet renang, Khiew Hoe Yan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul penerima insentif tertinggi RM7,000 susulan kejayaan menyumbang satu emas, tiga perak dan satu gangsa.