Dua lelaki ditahan bantu siasat kes dua jengkaut terbakar

Iklan
Video tular memaparkan dua jengkaut terbakar di tapak projek pemasangan paip gas di tepi Jalan Sri Cheeding di sini pada Selasa.

KUALA LANGAT - Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes video tular dua jengkaut terbakar di tapak projek pemasangan paip gas di tepi Jalan Sri Cheeding di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun itu ditahan di Jalan Sri Cheeding jam 11.30 malam pada hari sama.

Iklan
Iklan

"Setakat ini siasatan pihak polis tidak mengesan sebarang unsur pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap sebagaimana didakwa di dalam video yang tular," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya terkesan satu video berdurasi 0.33 saat pada jam 10 malam Selasa yang dimuat naik seorang pemilik akaun TikTok yang memaparkan dua jengkaut terbakar.

Iklan

"Kita telah memanggil pemilik akaun TikTok tersebut untuk mendapat keterangan berkaitan kenyataan yang ditularkan.

"Pemilik akaun tersebut memberitahu bahawa dia hanya mendengar khabar angin sahaja dan tidak dapat mengesahkan kebenaran mengenai punca kejadian yang berlaku," katanya.

Iklan

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut bagi mengenalpasti punca dan motif kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebar sebarang berita yang tidak dapat disahkan kebenarannya.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian kebakaran tersebut, orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Fadzil Mohamad Saidi di talian 013-9311208 atau 03-31872222," ujarnya.