Empat maut, hantar anak dapat kerja baru

Iklan
Kemalangan yang melibatkan tujuh kenderaan dekat Ipoh pada Rabu. - Foto media sosial

IPOH - Empat individu yang maut dalam nahas tujuh kenderaan dekat Ipoh pada petang Rabu merupakan sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan.

Mereka dikenali Rahim Ramli, 60, yang merupakan pesara polis, isterinya Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Iklan
Iklan

Ketika kejadian sekitar jam 3 petang itu, semua mereka yang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur.

Anak saudara kepada Siti Petimah yang mahu dikenali sebagai Atie, 43, berkata, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan untuk menghantar seorang anak perempuan mereka yang baru mendapat kerja di ibu kota.

Iklan

Menurutnya, keluarga berkenaan bertolak awal pada sebelah pagi dan kali terakhir dapat dihubungi sekitar jam 12 tengah hari ketika mereka berada berhampiran Alor Pongsu.

"Sekitar jam 4.30 petang saya cuba untuk hubungi ibu saudara saya untuk bertanyakan sudah sampai di mana, namun talian tidak bersambung.

Iklan

"Saya cuba telefon ke nombor tiga yang lain, tetapi tiada satu pun yang berjaya membuatkan hati saya tak tenang.

"Sampailah saya dapat panggilan daripada seorang lagi makcik maklumkan kejadian itu," katanya yang juga dalam perjalanan pulang dari Sungai Petani ke Bangi.

Beliau yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh berkata, kali terakhir dia bertemu keluarga berkenaan pada Isnin lepas ketika perayaan Aidiladha.

Suasana di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Katanya, ketika itu ibu saudaranya kelihatan gembira kerana mendapat tahu anaknya telah mendapat kerja.

"Kami baru jumpa, mereka nampak gembira bersama, tak sangka kejadian ini mengorbankan keempat-empat mereka sekali," katanya.

Dalam pada itu, suasana di Jabatan Forensik HRPB di sini di selubungi pilu dengan tangisan ahli keluarga apabila seorang lagi anak mangsa hadir bagi proses pengecaman dan tuntutan jenazah.

Semua jenazah dimaklumkan akan dikebumikan di Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang sebaik selesai bedah siasat.

Kejadian di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh itu membabitkan enam kereta dan sebuah treler.

Akibat nahas itu, empat mangsa dilaporkan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.