MELAKA - Seorang ibu tunggal dari Kota Laksamana di sini cekal menjaga dan menyara ibu bapanya yang sakit dengan hanya menjual nasi lemak.
Shuhaidah Sawi, 47, yang telah tujuh tahun bergelar ibu tunggal berkata, sejak berpisah dengan suami, dia bersama empat orang anak tinggal di rumah ibu bapanya bagi memudahkan mengurus ibunya, Hamidah Halil, 64, yang terlantar sakit manakala bapanya, Halil Basri, 67, terpaksa menjalani dialisis setiap minggu.
Menurutnya, disebabkan keadaan itu dia tidak dapat keluar bekerja bagi memberi perhatian kepada kedua orang tua, lebih-lebih lagi ibunya sentiasa memakai lampin pakai buang selain terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.
Katanya, adakalanya nasi lemak yang dijual berdekatan rumah itu tidak habis terutama ketika hari hujan dan disebabkan itu dia terpaksa memohon bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Permohonan JKM untuk mak telah dua kali dibuat, namun jawapan diterima permohonan gagal.
"Saya pun tak tahu mengapa gagal, namun dimaklumkan kerana saya berkemampuan, sedangkan saya bergantung kepada wang jualan nasi lemak untuk teruskan kelangsungan hidup," katanya yang menjual 50 hingga 100 bungkus nasi lemak sehari.
Tambahnya, perbelanjaan sebulan mereka sekeluarga dianggarkan mencecah RM1,000 termasuk bayaran pinjaman bank rumah berjumlah RM500.
"Sebab itu saya sangat berharap bantuan JKM untuk ibu dapat diluluskan.
"Sekurang-kurangnya dengan bantuan itu dapat meringankan beban memandangkan seorang anak saya masih bersekolah, manakala tiga orang lagi baharu mendapat pekerjaan," katanya ketika menerima kunjungan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryati Hamdzah di sini pada Rabu.
Sementara itu, Haryati berkata, semakan pihaknya dengan JKM mendapati permohonan keluarga itu lambat dipertimbangkan kerana masalah dokumentasi.
"Semakan dengan JKM keluarga ini layak untuk mendapat bantuan bulanan bermula Ogos depan.
"Kita harap kisah keluarga ini menjadi perangsang untuk UMNO terus membantu dan lebih prihatin agar tiada rakyat yang tercicir," katanya.