Tak wajar tuding menuding, tubuh jawatankuasa bipartisan segera

Iklan
Keadaan Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi yang dilanda banjir di Baling baru-baru ini. (Gambar kecil: Shaiful Hazizy)

ALOR SETAR - Semua pemimpin Kedah tidak wajar saling tuding menuding mencari kesalahan sebaliknya disaran segera menubuhkan sebuah jawatankuasa bipartisan untuk mencari penyelesaian isu Gunung Inas di Baling.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah), Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan itu hanya menunjukkan ketidakmatangan pemimpin-pemimpin negeri dalam isu bencana kepala air Isnin lalu.

Iklan
Iklan
Puncak Gunung Inas yang dirakam selepas tragedi kepala air.

Menurutnya, kegagalan mereka walau dari parti mana sekalipun untuk mengambil tanggungjawab itu amat memualkan.

"Tiada seorang pun yang berani tampil secara 'gentleman', masing-masing menyalahkan orang lain.

Iklan

"Perkara ini sudah dijangkakan sebaik banjir di Baling mulai surut, tuding menuding pun bermula," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Shaiful Hazizy kesal apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyalahkan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, manakala Mukhriz pula menyalahkan Ahmad Bashah.

Iklan

"Masing-masing menuduh projek tanaman durian besar-besaran Ladang Rakyat yang didakwa punca banjir teruk di Baling adalah kesan daripada keputusan menteri besar dari parti lain sebelum mereka.

"Siapa yang cadangkan, siapa luluskan, siapa mula menanam, semua ini adalah soalan ‘afterthought’ yang tidak beri kebaikan kepada mangsa terlibat," katanya lagi.

Menurutnya, jangan bersikap ‘suka membaling batu, sembunyi tangan’ kerana nasi sudah menjadi bubur.

"Tidak kurang yang menangguk di air keruh, sedangkan Kedah bukanlah negeri kontang, kawasannya subur dan berpotensi besar. Namun ia tidak membuahkan hasil kerana gagal dirancang dan diurus dengan baik oleh pemimpin negeri.

"Masing-masing ghairah menghentam orang lain sehingga agenda pembangunan negeri tidak diberikan perhatian. Akauntabiliti adalah perkara yang kritikal dan perlu dibongkar serta dijawab.

"Rakyat berhak tahu secara lengkap dan telus. Namun ia tidak boleh dikutip melalui lidah ahli politik atau pihak yang terlibat sebab wujud konflik kepentingan," katanya.

Sehubungan itu, Shaiful Hazizy berharap isu terbabit diuruskan oleh entiti bebas dan berkelayakan.

"Selain siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), adalah wajar diwujudkan sebuah jawatankuasa khas bipartisan untuk teliti secara mendalam punca bencana.

"Jawatankuasa ini perlu gandingkan wakil kerajaan dan pembangkang serta entiti bebas agar berkesan," katanya lagi.

Menurutnya, jawatankuasa bipartisan bebas ini juga harus memberi cadangan kepada kerajaan negeri berhubung penambahbaikan tatacara kelulusan dan prosedur operasi standard (SOP) pembalakan, termasuk projek mega yang mempunyai impak alam sekitar.

"Saranan penambahbaikan ini mesti dibentang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Mana perlu jadi dasar, gazetkan.

"Mana perlu jadi peruntukan mandatori, masukkan dalam enakmen negeri. Jika tidak, kita hanya akan ada laporan oleh pelbagai jawatankuasa setiap kali bencana berlaku.

"Apabila dibentang dalam DUN dan dijadikan polisi, parti mana pun yang mentadbir Kedah kelak akan terikat pada prosedur, undang-undang dan amalan baik,” tambahnya lagi.

Shaiful Hazizy turut berharap semua pemimpin dari semua parti politik mentadbir negeri sebagai amanah dengan meletakkan kepentingan negeri berbanding peribadi.

"Berhentilah menjadi pemimpin yang berfikir dalam lingkungan sendiri sahaja atau hanya fikirkan tentang siapa betul dan siapa salah.

"Ini adalah masa untuk berikan yang terbaik kepada negeri yang dipimpin,” katanya.