Nahas 7 kenderaan: 4 beranak dikebumi dalam satu liang lahad

Iklan
Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan tujuh buah kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Perak, Rabu selamat dikebumikan di Permatang Pasir, di sini awal pagi Khamis.

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Perak, semalam, selamat dikebumikan di Permatang Pasir, Permatang Pauh awal pagi ini.

Jenazah pesara polis Rahim Ramli, 60, dan isterinya Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan mereka Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, tiba di Masjid Tuan Haji Abdul Latiff, Permatang Pasir kira-kira 1.30 pagi, selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.

Iklan
Iklan

Ratusan ahli keluarga dan rakan-rakan hadir sejak pukul 11 malam tadi bagi memberi penghormatan terakhir dan menanti urusan pengebumian empat jenazah tersebut yang dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan masjid itu kira-kira pukul 3 pagi.

Anak lelaki tunggal pasangan itu Muhamad Hazman Rahim, 20, berkata, masih terkejut dan sedih kerana bukan sahaja menjadi anak yatim piatu sekelip mata, namun turut kehilangan dua kakak kesayangan.

Iklan

Katanya, hanya mengetahui mengenai kemalangan maut membabitkan empat ahli keluarganya itu selepas dimaklumkan oleh seorang lagi kakaknya Nor Fatini, 22.

"Sekali 'pi' (meninggal dunia) sampai empat (orang), bukan satu, bukan dua dan bukan tiga. Saya memang betul-betul sedihlah kerana empat ahli keluarga meninggal sekelip mata macam tu (kemalangan).

Iklan

"Waktu kakak telefon cakap ayah dan mak dah meninggal, saya memang terkejut sebab semalam (Isnin) saya balik jumpa (mereka), cium tangan apa semua. Tengok-tengok hari ini (petang semalam) tak ada dah," katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Tuan Haji Abdul Latiff sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir pada jam 3 pagi.

Muhamad Hazman berkata, dia kini sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Perlis memang mengetahui ibu dan ayah serta dua kakaknya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghantar Nor Hadirah yang bekerja di sana.

"Saya dah tahu yang mereka semua akan ke Kuala Lumpur untuk menghantar kakak (Nor Hadirah) ke tempat kerjanya setelah lama bercuti dan saya pun macam biasa akan cium tangan mak ayah sebelum balik semula ke Perlis, dalam masa sama saya maklumkan akan pulang ke rumah apabila saya cuti.

"Apabila jadi macam ini (kehilangan empat ahli keluarga serentak), saya sedih tak tahu nak cakap macam manalah. Tinggal saya dengan seorang lagi kakak (Nor Fatini)," katanya yang beberapa kali menahan sebak dan menangis.

Muhamad Hazman yang pada mulanya kelihatan dapat mengawal emosi, 'tewas' apabila jenazah ahli keluarganya dibawa masuk satu-persatu ke dalam masjid untuk diberikan penghormatan terakhir.

Manakala Nor Fatini yang sejak awal dilihat sangat sedih sering menyeka air matanya sambil ditemani saudara mereka.

Pengebumian empat beranak itu berlangsung dalam hujan renyai dan diselubungi suasana hiba apabila ramai saudara, kenalan serta penduduk setempat turut menghadiri upacara berkenaan.

Dalam kejadian di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh pada petang Rabu itu, kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah treler.

Akibat nahas itu, empat mangsa dilaporkan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian sekitar jam 3 petang itu, semua mereka yang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur.