SHAH ALAM -"Saya nak ingatkan Menteri Besar Selangor, dia dah memerintah berapa lama? Masih nak salahkan Barisan Nasional (BN) lagi? Dah tiga penggal sejak 2008, tak kanlah nak tengok salah BN lagi. Cukup-cukuplah nak salahkan orang lain".
Itu respon Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkenaan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyalahkan parti tersebut berkenaan isu selenggara Stadium Shah Alam.
Noh turut memetik teks ucapan Belanjawan Selangor 2022 yang mana kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM14.9 juta bagi pembangunan pembangunan generasi muda dan sukan.
Namun katanya, peruntukan tersebut tidak menyebut secara khusus untuk membaiki stadium di Selangor.
"Kemudian dia (Amirudin) ada sebut tentang sukan, dia kata kerajaan negeri akan menambah peruntukan bagi Projek Membaikpulih dan Membina Baru Infrastruktur Sukan daripada RM2.196 juta pada tahun 2021 kepada RM4 juta pada tahun 2022.
"Bertambahlah, terima kasih kerana beri (penambahan peruntukan), tapi sekali lagi peruntukan itu tidak ada kena mengena dengan stadium.
"Jadi kesimpulan yang saya nak katakan, Menteri Besar (MB) kata saya tidak tahu apa, itu bermakna MB tidak tahu apa dia cakap," katanya ketika sidang media Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) di Uptown Shah Alam, di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Amirudin menafikan kerajaan Selangor tidak membuat kerja-kerja penyelenggaraan Stadium Shah Alam secara berterusan.
Menurutnya, masalah kerosakan dialami sudah berlarutan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, kerosakan dialami Stadium Shah Alam memerlukan perbelanjaan tinggi dan ia bukanlah perkara baharu sebaliknya perlu ditangani secara menyeluruh termasuk cadangan merobohkan stadium berkenaan.