JAS ambil 204 tindakan undang-undang premis abai AKAS 1974

Iklan
Ops Air Raya berjaya menghasilkan 204 tindakan undang-undang terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) dan Peraturan-Peraturan bawahnya.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 275 premis dari 10 sektor industri diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam operasi Ops Air Raya yang berlangsung selama tujuh hari bermula 1 Julai lalu.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, daripada jumlah itu, 204 tindakan undang-undang telah diambil ke atas premis-premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Iklan
Iklan

"Ia merangkumi 71 notis arahan dan 126 kompaun berjumlah RM252,000 dikeluarkan JAS, empat penahanan operasi kelengkapan dan tiga kes untuk penyediaan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan", katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, antara kesalahan yang sering dilakukan adalah gagal menguruskan buangan terjadual (BT) sepertimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Iklan

"JAS ingin menegaskan bahawa pengurusan BT perlu diberi perhatian serius mengikut undang-undang dan garis panduan serta dikitar semula,diperoleh kembali atau dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja," katanya.

Beliau berkata, BT boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah sekiranya tidak diurus dengan baik.

Iklan

"Pihak industri dilarang sama sekali melupuskan buangan terjadual secara haram," katanya.

Wan Abdul Latiff berkata, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

"Pelaksanaan Ops Air Raya kali ini melibatkan kekuatan 86 pasukan penguat kuasa merangkumi 235 anggota penguat kuasa JAS dari seluruh negara dengan kerjasama pelbagai agensi di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan, antaranya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Audit Negara (JAN), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan lain-lain," katanya.

Sektor industri yang diperiksa adalah dikenalpasti mempunyai tahap pematuhan rendah kepada AKAS 1974.

Ia adalah sektor industri penyudahan logam dan salur elektrik, kertas, pengilangan logam, plastik, galian bukan logam, penapisan minyak makan, makanan dan minuman, kimia, berasaskan getah dan penapisan petroleum.