[VIDEO] Empat beranak maut: Pemandu treler direman tiga hari

Iklan
Pemandu treler dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapatkan tahanan reman pada Khamis.

IPOH - Pemandu treler yang menyebabkan kematian empat beranak dalam nahas tujuh kenderaan dekat Ipoh pada petang Rabu direman selama tiga hari.

Perintah reman bermula Khamis sehingga Sabtu itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Puteri Nordina Kamalaudin selepas permohonan dikemukakan polis pagi ini.

Iklan
Iklan

Lelaki berusia 34 tahun yang memakai kemeja-T berwarna hijau itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret dengan dikawal polis.

Tahanan reman terhadap lelaki itu dibuat bagi siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

Iklan

Dalam kejadian di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh sekitar jam 3 petang itu, empat beranak yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur itu maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam nahas tujuh kenderaan termasuk sebuah treler.

Mangsa yang maut merupakan pesara polis, Koperal Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Iklan

Siasatan polis mendapati, treler bermuatan kosong yang dalam perjalanan dari arah Taiping ke Bukit Beruntung itu telah merempuh kenderaan dinaiki mangsa dari arah belakang.

Rempuhan mengakibatkan kereta jenis Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu mengelongsor ke hadapan lalu melanggar lima lagi kenderaan lain.