MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu Perodua Myvi didakwa di Mahkamah Majistret Jasin pada Khamis atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibat kematian pasangan orang kurang upaya (OKU), pada 6 Jun lalu.
Tertuduh, Amirul Anwar Mohamed, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Khairiah Abdul Razak.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan secara melulu atau dengan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri, Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 46.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu lebih kurang jam 7.45 pagi di jalan Serkam Pantai - Merlimau, Jasin pada 6 Jun 2022 lalu.
Dia didakwa mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 serta menggantung lesen memandu tertuduh.
Tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik diwakili peguam Mohd Fadzlullah Ramlee bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan berikutan alasan anak guamnya perlu menjaga ayah yang juga bekas imam mempunyai masalah kesihatan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 terhadap tertuduh dengan dua penjamin selain syarat tambahan lesen digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 29 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada 6 Jun lalu, Sinar Harian menyiarkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau.
Dalam kejadian jam 7.45 pagi, Ezuddin dan isterinya yang bekerja sebagai operator kilang, Surayah dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke arah Merlimau.