Melewati tahun 2020, 34 juta rakyat Malaysia sebenarnya berdepan realiti cabaran kehidupan yang tidak dijangka, sangat mencabar dan penuh dugaan.
Siapa sangka gagasan Wawasan 2020 yang di canang bakal menjadi evolusi kepada norma kehidupan seharian masyarakat kita sejak dilancarkan pada tahun 1991.
Hakikatnya berakhir dengan peristiwa polemik tri-krisis yang bermula daripada kisah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kemunculan pandemik Covid-19 yang mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi meruncing serta konflik perebutan kuasa politik tidak berkesudahan.
Kini, baru sahaja dunia mahu kembali pulih daripada krisis pandemik Covid-19 dengan Malaysia memasuki fasa peralihan ekonomi kepada endemik, kita dikejutkan pula dengan pertembungan konflik Rusia-Ukraine.
Sebenarnya, pada awal tercetusnya konflik dua negara bekas Kesatuan Soviet itu, ramai penganalisis geopolitik mengunjurkan implikasinya kepada dunia sekiranya krisis itu berlarutan, amat parah.
Hal ini kerana kedua-dua negara itu merupakan antara negara pengeluar utama tanaman bijirin, gandum, jagung dan komoditi asas lain bagi menghasilkan makanan haiwan.
Justeru, apabila konflik Rusia-Ukraine semakin memuncak, ditambah dengan negara-negara dunia termasuk Malaysia baru membuka kembali ekonomi dan sempadan masing-masing, maka kesannya mencetuskan lonjakan harga makanan disebabkan kekurangan bekalan komoditi makanan dunia.
Malaysia dicatatkan mempunyai bil import sekuriti makanan terlalu tinggi dan mencecah nilai RM55.4 bilion pada tahun 2020 berbanding RM45.3 bilion pada tahun 2015, sudah pasti kita tidak mampu mengelak daripada merasai tekanan kenaikan harga makanan yang diunjurkan mencecah 40 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga telah mengeluarkan laporan statistik terbaharu mengenai Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Mei yang melonjak kepada 2.8 peratus berbanding 2.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Tidak dinafikan senario peningkatan harga barang dan kos sara hidup amat memberi kesan kepada rakyat Malaysia, terutama selepas 184 item makanan daripada keseluruhan 552 item dalam 'bakul' Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan.
Tetapi sedarkah kita yang kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masih mampu mengekalkan kadar inflasi negara pada paras paling rendah di rantau Asia Tenggara?
Kerajaan main peranan
Ini bukan satu omong kosong yang kononnya untuk menyedapkan hati rakyat. Jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, kadar inflasi mereka jauh lebih tinggi daripada Malaysia.
Kadar inflasi di Singapura bagi bulan Mei berada pada kadar 5.6 peratus, tertinggi sejak November 2011. Manakala, Thailand merekod kadar inflasi yang tertinggi sejak 14 tahun yang lalu dengan capaian sebanyak 7.1 peratus.
Di zon Eropah, kadar inflasi Indeks Harmoni Harga Pengguna zon Eropah meningkat dengan ketara daripada 5.9 peratus pada Februari 2022 kepada 8.1 peratus pada Mei 2022.
Penulis tidak berniat mempertahankan sesiapa. Namun di sebalik kemarahan meluap-luap dilontarkan segelintir pihak terhadap kerajaan, kita terlupa perdana menteri, jemaah menteri dan semua kementerian berkaitan sudah melakukan sehabis baik untuk meringankan beban rakyat.
Ramai tidak melihat gelas itu separuh penuh, namun lebih menjurus persepsi gelas separuh kosong. Jika bukan kerana subsidi kerajaan, inflasi kita mungkin melambung pada paras tidak dijangka dan sekali gus mencetuskan huru-hara luar biasa.
Sepanjang tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan subsidi terbesar dalam sejarah iaitu RM77.7 bilion yang merangkumi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), minyak masak berpeket, telur ayam, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Menurut pandangan beberapa penganalisis ekonomi tempatan, impak inflasi negara mungkin akan mencecah 11.4 peratus jika tiada subsidi diperuntukkan oleh kerajaan.
Kesanggupan kerajaan Keluarga Malaysia mengeluarkan peruntukan subsidi terbesar dalam sejarah negara, membuktikan Ismail Sabri sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat negara ini.
"Sebab apa inflasi kita rendah? Sebab kita bagi subsidi untuk harga tidak naik. Kalau tak beri subsidi, inflasi kita mungkin naik antara 8, 10, atau 11 peratus.
"Tetapi kerajaan belanja lebih RM70 bilion untuk memberikan subsidi kepada makanan-makanan asas termasuk minyak petrol dengan subsidi hampir RM28 bilion,” ujar Ismail Sabri pada minggu lalu.
Pemberian subsidi nafas baharu buat rakyat
Baru-baru ini, perdana menteri kesembilan itu mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.74 bilion kepada 8.6 juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 serta BKM Tambahan, melebihi jumlah kumpulan B40.
Pada saat tumpuan kerajaan kebiasaannya hanya terarah kepada golongan berpendapatan rendah (B40), pemberian tambahan bilangan penerima BKM itu membuktikan kerajaan Keluarga Malaysia juga tidak mengabaikan kelompok M40.
Dengan pemberian tambahan nilai BKM, pengekalan subsidi bagi minyak masak peket, penetapan harga siling ayam serta inisiatif mempertahankan nilai tarif elektrik, sudah pasti langkah berstrategik kerajaan pimpinan Ismail Sabri meminimumkan impak kenaikan inflasi daripada membebankan rakyat.
Tidak dinafikan apabila kerajaan memutuskan untuk menarik semula subsidi pemberian minyak masak botol dan mencadangkan harga ayam bulat diapungkan, banyak pihak mula gegak gempita menjaja pelbagai cerita negatif.
Bahkan terdapat satu video TikTok tular disebarkan oleh seorang pemimpin pembangkang, kononnya tarikh 1 Julai lalu bakal menjadi detik hitam negara atas dakwaan pelbagai peruntukan subsidi bakal dimansuhkan kerajaan.
Hakikat sebenarnya adalah kerajaan hanya menarik subsidi untuk minyak masak botol dan mengekalkan subsidi untuk minyak peket. Subsidi ini melibatkan 60,000 tan metrik sebulan melebihi keperluan isi rumah sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.
Peruntukan subsidi minyak masak tahun ini adalah jauh lebih tinggi iaitu sebanyak RM4 bilion berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.
Menerusi siasatan wartawan Sinar Harian di daerah-daerah luar negara bersempadan dengan Malaysia baru-baru ini, sudah terbukti aktiviti penyelewengan dan penyeludupan minyak masak bersubsidi ke luar negara sebagaimana dijelaskan Ismail Sabri, memang berleluasa dan tidak dikawal.
Justeru, dengan ketirisan sebegini, rakyat Malaysia sendiri yang rugi pada saat peruntukan subsidi minyak masak berkenaan sepatutnya dinikmati sepenuhnya oleh mereka.
Kerajaan juga mengambil langkah proaktif untuk menentukan harga siling ayam bulat kepada RM9.40 sekilogram, pada saat negara berdepan masalah kekurangan bekalan ayam dan kenaikan mendadak harga dedak mencecah lebih 200 peratus ketika ini.
Sebagai negara ketiga tertinggi dunia bagi penggunaan ayam, isu kenaikan harga ayam di negara ini juga bukan merupakan satu perkara baharu.
Ditambah implikasi konflik Rusia-Ukraine, kenaikan harga ayam bulat disebabkan kenaikan mendadak harga dedak menyebabkan kerajaan mengambil tindakan drastik dengan menetapkan harga siling selain memperuntukkan RM1.1 bilion untuk subsidi.
Begitu juga jangkaan kenaikan tarif elektrik yang sepatutnya tidak dapat dielakkan oleh negara ini pada saat negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura terpaksa melakukannya.
Ismail Sabri dan barisan kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia mengambil inisiatif penting untuk mengekalkan subsidi bahan api sebanyak RM5.8 bilion, sekali gus memastikan impak kenaikan inflasi di Malaysia dapat diserap secara menyeluruh.
Tidak cukup dengan itu, minggu lalu Ismail Sabri mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani bagi membantu rakyat menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup.
Menurut beliau, pasukan khas itu berperanan mengumpul semua maklumat dari kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.
Bagi beberapa pakar ekonomi, usaha penubuhan pasukan khas itu adalah tepat pada masanya, pada saat satu badan khas bagi menyelaraskan dan mengkoordinasi tindakan menyelesaikan krisis kenaikan inflasi adalah sangat-sangat diperlukan rakyat.
Wajar beri sokongan
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, pasukan khas itu akan benar-benar berjaya, sekiranya karenah birokrasi yang menjadi dinding memisahkan agensi kerajaan dan pihak luar dapat dikurangkan.
Justeru, dalam mendepani krisis dan cabaran terbesar dihadapi negara selepas pandemik Covid-19, seluruh rakyat Malaysia sewajarnya berdiri sama-sama di belakang kerajaan Keluarga Malaysia bagi memberikan sokongan yang diperlukan pemimpin-pemimpin kita.
Tidak adil untuk kita menilai kerajaan pimpinan Ismail Sabri sebagai lemah dan hilang kawalan dalam menangani isu inflasi kerana krisis yang berlaku ketika ini sebenarnya merupakan satu permasalahan global yang luar biasa.
Kita juga harus terus menyokong usaha pihak kerajaan yang sentiasa beri keutamaan bagi kemaslahatan hidup Keluarga Malaysia.
Bagi penulis, kerajaan sebenarnya melakukan semua ini dalam keadaan tangan terikat, satu realiti sebenar yang tidak pernah disedari oleh kita semua.
Perdana menteri kita sejujurnya masih mampu bersikap tenang dan meneruskan pentadbiran kerajaan dengan baik dan teratur pada saat beliau dihimpit dengan pelbagai tekanan dari 'kiri dan kanan'.
Bak kata seorang pembaca sebuah portal berita terkemuka tempatan, Andrew Seah, ada ramai ahli politik yang sentiasa bercakap kosong dan mengambil kesempatan untuk mengutarakan pelbagai solusi retorik kepada rakyat pada saat sukar.
"Kita sebagai pengundi tidak seharusnya diperdaya mereka dan wajar menilai perkara terbaik untuk diri sendiri.
"Sebelum menyalahkan setiap perkara kecil terhadap Ismail Sabri, lihat perkara sekeliling dan nilailah sendiri keadaan jiran-jiran kita dan tanyalah dalam hati, apa lagi yang kita harapkan perdana menteri buat?
"Beliau bukan ada topi ajaib yang boleh mengawal harga barang dengan begitu sahaja. Perdana Menteri sudah lakukan yang terbaik dan kita juga harus memainkan peranan untuk mengatasi masa sukar ini bersama," ujar Seah melalui satu pandangan jujur.