GEORGETOWN - Parti MCA Pulau Pinang mencadangkan agar mereka yang terkesan dengan krisis bekalan air sejak Rabu lalu termasuk sektor perkilangan diberikan rebat selepas mengalami kerugian akibat daripada kejadian tersebut.
Naib Setiausaha Organisasi Pemuda MCA Pusat, Tan Yang Pang berkata, krisis tersebut mengakibatkan 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun di seluruh negeri ini terputus bekalan air.
Menurutnya, selain rebat, pihaknya juga mencadangkan agar satu jawatankuasa antara Pulau Pinang, Kedah dan Perak untuk membincangkan mengenai sumber air.
"Dalam kejadian bermula pada Rabu lalu, banyak pihak terkesan termasuk kilang, kedai makan dan penduduk di kawasan yang terlibat. Mereka terpaksa berdepan dengan keadaan sukar apabila bekalan air terputus secara tiba-tiba tanpa notis pemberitahuan.
"Kejadian itu pula, bukannya sehari tetapi beberapa hari. Oleh itu, kita mencadangkan agar mereka yang terkesan diberikan rebat selepas terpaksa melalui keadaan yang sukar itu," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat MCA Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Rabu minggu lalu, semua operasi pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah dihenti tugas sementara waktu iaitu selama empat jam bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Tindakan itu diambil susulan kadar kekeruhan air mentah di loji tersebut dicatatkan tinggi susulan kejadian banjir di Baling, Kedah pada Isnin.
Pada jam 6 pagi Rabu, kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU).
Ia adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi yang mana kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU.
Dalam pada itu, Yang Pang turut menggesa Ahli-ahli Backbenchers Pakatan Harapan (PH) supaya menyatakan nama-nama yang perlu dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan (PAC) Pulau Pinang untuk menjalankan siasatan berhubung krisis air tersebut.
Kata beliau, permasalahan itu tidak sepatutnya diletakkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) semata-mata yang mana, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selaku Pengerusi PBAPP juga perlu bertanggungjawab.
Sebelum ini, Ahli-ahli Backbenchers PH dalam kenyataannya menggesa agar satu siasatan dijalankan berhubung krisis bekalan air yang melibatkan 80 peratus pemegang akaun di seluruh negeri ini.
Kenyataan itu turut mempersoalkan maklum balas PBAPP berhubung krisis berkenaan yang menjadi persoalan ramai termasuk maklumat yang diberikan berhubung waktu pulih bekalan tidak tepat.
Selain itu, mereka turut meminta Jawatankuasa PAC Pulau Pinang menyiasat kebersediaan PBAPP dalam menangani krisis agar perkara tersebut tidak berulang.