Penyahhutanan ganggu aliran air hujan ke sungai

Iklan
Foto hiasan. Gambar kecil: Jing Xiang

SHAH ALAM - Pembangunan dan penerokaan hutan atau bukit yang melibatkan penyahhutanan akan mengakibatkan proses pengaliran air hujan secara semula jadi ke sungai terganggu.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata, ia kerana hutan boleh berfungsi untuk menampung dan memperlahankan aliran air hujan terus ke sungai.

Iklan
Iklan

"Ini sekali gus menyebabkan kawasan hilir akan dibanjiri dengan jumlah air yang besar dan deras apabila hujan lebat berlaku.

"Namun, adakah perkara ini yang berlaku di Baling, Kedah? Perkaitan ini sukar diulas tanpa ada kajian saintifik yang jelas,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mengulas lanjut, Jing Xiang berkata, bencana alam boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, walaupun kawasan itu tidak pernah dilanda kejadian bencana.

"Kita tidak harus mengambil mudah bahawa bencana tidak akan berlaku di sesuatu tempat itu, tetapi sebaliknya perlu sentiasa bersiap siaga menghadapinya terutamanya jika kawasan tersebut banyak aktiviti manusia.

Iklan

"Apabila hendak buat penempatan manusia, aktiviti ekonomi dan pembangunan, kita kena bersedia hadapi kemungkinan apa yang kita lakukan terhadap alam sekitar akan mendatangkan bahaya kepada kita.

"Justeru, pihak berkuasa dan rakyat perlulah mengambil serius berkenaan Penilaian Alam Sekitar (EIA) sebelum ingin membangun atau meneroka sesuatu kawasan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk dunia termasuk Malaysia dijangka berhadapan dengan keadaan cuaca ekstrem yang lebih kerap dan teruk berbanding ketika ini.

Jing Xiang berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan dapatan Laporan Penilaian Kelima yang dikeluarkan oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

Menurutnya, laporan tersebut memaklumkan bahawa kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau dan ribut taufan akan menjadi lebih kerap dan intensiti lebih kuat sejajar dengan perubahan iklim pada masa hadapan.

"Cuaca ekstrem sememangnya perkara yang biasa berlaku setiap tahun, walaupun lokasi dan masanya adalah berbeza.

"Bagaimanapun, berdasarkan ujuran model-model iklim, perubahan iklim masa hadapan akan menyebabkan cuaca ekstrem seperti banjir, taufan dan kemarau berlaku dengan lebih kerap dan teruk.

"Maka adalah rasional untuk kita menjangkakan bencana alam (seperti yang berlaku di Baling, Kedah) akan berlaku lagi,” katanya.