MELAKA - Cubaan lima pendatang tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke negara ini gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan pada Khamis.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, hasil maklumat yang diterima dari radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dari perairan Indonesia menuju ke perairan Tanjung Tuan.
Menurutnya, anggota Maritim yang sedang melaksanakan rondaan operasi ketika itu berjaya memintas bot tersebut sekitar jam 12 malam di kedudukan lebih kurang 2.9 batu nautika barat Tanjung Tuan.
"Pemeriksaan lanjut ke atas bot gentian kaca berwarna biru tanpa nombor pendaftaran itu menggunakan enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda.
"Terdapat lima lelaki berusia antara 21 hingga 46 tahun termasuk tekong warga Indonesia berusia 31 tahun berada dalam bot terbabit dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Iskandar berkata, kesemua mereka termasuk bot ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, berdasarkan statistik tahun ini, pihaknya merekodkan sebanyak dua kes tangkapan di bawah Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom).
"Maritim Malaysia sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan," katanya.