KUALA NERANG - Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berharap dirinya tidak diheret dalam isu pertikaian membabitkan penerokaan puncak Gunung Inas di Baling yang didakwa antara punca tragedi kepala air dan banjir lumpur, minggu lalu.
Mahdzir yang merupakan bekas Menteri Besar Kedah bermula pada tahun 2005 hingga 2008 menjelaskan, beliau tiada kaitan dengan isu tuding menuding antara bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya, apa yang dibangkitkan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan adalah isu lama yang saling berkait apabila projek asal dilanjutkan bawah beberapa pemerintahan menteri besar selepas tamat penggal, kemudiannya berlarutan sehingga kepimpinan terkini, bawah Muhammad Sanusi.
"Tak payah tanyalah, biar mereka bergaduh, nama saya tak ada dalam isu itu, cukuplah.
"Jangan pula ada yang pandai-pandai (nak kaitkan dengan saya), biarlah mereka bergaduh, itu cerita kemudian (selepas pentadbiran saya) kemudian bersangkut-sangkut," katanya pada sidang akhbar selepas hadir majlis taklimat khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu, di Kampung Padang Setol di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut enggan terlibat dalam ‘permainan’ yang menyaksikan elemen tuding menuding membabitkan projek ladang durian musang king di Gunung Inas, antara Mukhriz dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Sehari sebelum itu, Mukhriz mendakwa syarikat ECK Group diberikan kebenaran menanam durian di Gunung Inas ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang ketika itu ditadbir Ahmad Bashah antara 2016 hingga 2018.
Sebelum itu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, kelulusan ladang hutan untuk tanaman getah jenis timber latex clon (TLC) di Gunung Inas dilakukan pada era pemerintahan BN pada 2007, bukannya oleh kerajaan Pas pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak selain mendakwa penebangan balak dilakukan antara tahun 2018 dan 2019.
Pada 4 Julai lalu, bencana banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Baling dikaitkan dengan projek ladang durian musang king di puncak Gunung Inas, yang mengorbankan tiga nyawa penduduk dan ribuan penduduk terjejas.