SINTOK - Lebih 17,000 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima manfaat daripada inisiatif Menu Keluarga Malaysia pada harga RM3.50 yang diperkenalkan di setiap kafeteria di dalam kampus.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, ia adalah bukti bahawa UUM prihatin terhadap kebajikan pelajarnya sepanjang tempoh pengajian dalam usaha meringankan beban mereka.
Katanya, UUM turut memberi baucar makan percuma berjumlah RM5 setiap hari kepada 140 pelajar terpilih dari golongan B40 untuk membeli makanan di kafeteria di setiap Inapan Siswa (INASIS).
"Bagi memastikan kadar harga makanan dalam kampus berada pada kadar harga yang berpatutan, UUM juga melaksanakan kawalan harga makanan dan barangan di kedai runcit demi menjaga kebajikan pelajar dalam menangani kenaikan kos sara hidup," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, UUM sentiasa menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memastikan bahawa harga barang dan makanan dalam kampus terus terkawal dan tidak membebani pelajar.
"UUM bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa Inapan Siswa serta pemimpin-pemimpin pelajar dalam mendapatkan sumber maklumat berkaitan sebarang isu dan permasalahan melibatkan kebajikan pelajar," katanya.
Haim Hilman menambah, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM juga akan terus memantau tanda harga makanan dan barangan di semua premis dalam kampus agar tiada sebarang kenaikan harga sewenang-wenangnya hingga membebankan pelajar terutama dari golongan B40.
"Di samping itu, UUM turut menyahut inisiatif KPT yang memperkenalkan Food Basket Siswa Keluarga Malaysia dan telah mengedarkan bakul makanan kepada 450 orang pelajar B40 secara terus di semua INASIS dalam kampus sejak 2021," katanya.
Katanya, UUM juga sedang memperkasakan inisiatif Food Bank Siswa dan Food@Campus dengan terus bekerjasama pelbagai pihak lain seperti kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), alumni, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan persendirian.
"Usaha ini bertujuan untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar dengan menyediakan barangan makanan dan minuman secara percuma dan berterusan," katanya.
Menurutnya, UUM juga memperkenalkan inisiatif On Campus Job (OCJ) sejak 2020 yang membolehkan pelajar bekerja sambil belajar bagi menampung kos hidup mereka sepanjang tempoh pengajian.
"Selain memberi pendedahan awal tentang dunia pekerjaan, inisiatif ini juga dapat membantu pelajar mencari pendapatan sampingan secara lebih teratur.
"Dalam masa yang sama, kita turut menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar untuk ke pekan berhampiran bagi membolehkan pelajar membeli barangan keperluan asas," katanya.
Katanya, bas untuk digunakan pelajar pulang ke kampung halaman pada cuti semester tidak lama lagi juga disediakan dari UUM ke destinasi masing-masing.
"Semua inisiatif ini diharapkan dapat memastikan kebajikan pelajar UUM terus dijaga dan pengajian mereka tidak terganggu akibat kenaikan kos sara hidup," katanya.