SHAH ALAM - Masalah kurang gaji dalam pekerjaan bukan antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya rasuah dalam masyarakat pada masa kini.
Penceramah bebas, Husni Abdul Rahman berkata, tanggapan itu tidak benar kerana kebanyakkan yang terlibat dalam kes-kes rasuah adalah dalam kalangan kumpulan yang berpangkat tinggi.
Iklan
Iklan
"Ia bukan soal gaji kerana semakin besar gaji, semakin besar rasuah. Yang pergi ke hotel (untuk melakukan urusan rasuah) itu semua gaji-gaji besar.
"ALLAH menyebut dalam al-Quran bahawa sesungguhnya orang yang banyak buat korupsi dan rasuah ini adalah dua golongan iaitu golongan pembesar seperti ahli politik. Yang kedua adalah golongan orang-orang agama serta rahib.
"Sebab mereka berada dalam kelompok tertinggi dalam hierarki masyarakat, dan mereka ada semua kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebagai panelis dalam Forum Khas bertajuk Ketirisan Pemusnah Kesejahteraan Pekerja pada Khamis.
Program yang dihoskan oleh Dr G Manimaran itu turut menampilkan barisan panelis seperti Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal; Penyelidik Undang-undang Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Centre, Arief Hamizan dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani.