Triton guna siren, polis Perak sahkan kenderaan milik PDRM

Iklan
Tangkap layar video yang menunjukkan pacuan empat roda itu menggunakan siren dan lampu kecemasan melalui KM239 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.

IPOH - Polis Perak mengesahkan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton menggunakan siren dan lampu kecemasan yang dirakam menerusi rakaman video tular merupakan milik pasukan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menjelaskan, kenderaan pacuan empat roda itu melalui KM239 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan itu dinaiki anggota yang sedang bertugas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak polis tidak mengesan sebarang salah laku atau salah guna kuasa seperti dakwaan yang tular menerusi media sosial berhubung video tersebut.

"Pada ketika itu, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah berjaya menangkap suspek dua lelaki di daerah Taiping kerana terlibat dalam satu sindiket curi kenderaan mewah.

Iklan

"Pasukan tersebut bersama-sama suspek yang ditahan terus dibawa ke IPK perak untuk tujuan siasatan lanjut.

"Atas faktor keselamatan serta tugas rasmi, pasukan serbuan tersebut telah menggunakan siren dan lampu kecemasan bagi mendapat laluan pantas ketika melalui laluan yang sesak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mior Faridalathrash berkata, pihak polis akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras sepenuhnya sebarang kejadian jenayah di negeri ini.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash meminta masyarakat membuat semakan dengan pihak berwajib sebelum membuat sebarang hebahan yang mengelirukan.

Menerusi video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan sebuah Mitsubishi Triton berwarna putih menggunakan siren dan lampu kecemasan untuk diberikan laluan di lebuh raya berkenaan.