'Ashraf mungkin kekejangan atau diserang haiwan berbisa'

Iklan
Ismail menunjukkan tumpuan dua lokasi pencarian Strom ketika ditemui di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang, hari ini.

GOPENG - Dua laluan yang memungkinkan mangsa tersasar jauh daripada trek atau diserang haiwan berbisa akan dijadikan tumpuan operasi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, melibatkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm), hari ini.

Pasukan mencari dan menyelamat disertai 30 anggota Storm dari Perak, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan itu akan tertumpu di dua lokasi iaitu di check point 6 melibatkan kawasan kampung dan check point 10 di laluan Gua Kandu.

Iklan
Iklan

Komander Storm Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ismail Abdul Ghani berkata, berdasarkan tinjauan dan temu bual dilakukan dengan penganjur, peserta larian dan penduduk, pihaknya memperolehi petunjuk samar bahawa mangsa berkemungkinan boleh ditemui di dua kawasan terbabit.

Menurutnya, ketika berada di kawasan bermulanya Gua Kandu, ada saksi mengatakan mangsa berjalan bersamanya sejauh hampir 4km dan mangsa sempat minum di check point 10 sebelum meneruskan larian.

Iklan

"Malangnya mangsa tidak sampai ke garisan penamat, jadi kita mengesyaki kemungkinan mangsa keluar dari trek laluannya sama ada untuk buang air atau terdapat perkara-perkara lain yang menarik perhatiannya (meninggalkan trek).

"Ada kemungkinan juga mangsa mengalami kekejangan otot atau diserang binatang berbisa memandangkan kawasan berhampiran Gua Kandu itu adalah kawasan berpaya yang menjadi tempat haiwan berbisa," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, meskipun petunjuk diperolehi masih samar-samar dan tidak boleh dijadikan bukti kukuh, namun ia dapat membantu fokus pasukan penyelamat mengesan jejak.

Katanya, dengan kepakaran dan pengalaman dimiliki anggota Storm, kedudukan bentuk muka bumi di situ bukanlah satu masalah kepada mereka, hanya keluasan laluan dengan petunjuk yang kabur dan pelbagai sedikit menyulitkan operasi kali ini.

"Kita tetap teruskan pencarian hingga menampakkan hasil positif, hasrat kita adalah sehingga mangsa dijumpai dan saya percaya, mangsa sendiri mempunyai kebolehan hidup yang tinggi memandangkan dia punya pengalaman tinggi dalam aktiviti seperti ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Henti sebar spekulasi kehilangan Ashraf