Misi balas dendam

Iklan
Skuad B-19 negara yang menggalas cabaran di Kejuaraan AFF B-19 2022. - Foto FAM

SKUAD Bawah 19 (B-19) tahun negara berpeluang membalas dendam kekalahan kepada Laos sebelum ini apabila sekali lagi berentap dalam perlawanan akhir Kejuaraan AFF B-19 di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia pada Jumaat.

Pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras berkata, meskipun begitu beliau enggan terlalu memikirkan berkenaan soal membalas dendam, sebaliknya mahu para pemainnya memberikan aksi terbaik.

Iklan
Iklan

Justeru beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik sambil memberi bayangan berkemungkinan barisan pemain sama ketika mencipta kejutan ke atas Vietnam pada separuh akhir sebelum ini.

"Untuk perlawanan esok (Jumaat), seperti kita tahu, Laos bukanlah lawan mudah dan mereka mencipta kejutan ketika menewaskan Thailand.

Iklan

"Bagaimanapun, saya tetap optimis pasukan negara mampu untuk menghasilkan keputusan positif berbanding menentang Laos dalam aksi kumpulan sebelum ini yang mana kita tewas.

"Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik berbanding ketika berdepan Laos tempoh hari. Mungkin barisan pemain yang turun beraksi ketika menang menentang Vietnam akan dikekalkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, skuad negara berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Kejuaraan AFF B-19 apabila membelasah Vietnam 3-0 pada Rabu.

Gol-gol Malaysia dijaringkan Adam Farhan Faizal pada minit ke-26, Haiqal Haqeemi Hairi (min-70) dan Haykal Danish Haizon (min-87), sudah cukup untuk memastikan kemenangan skuad Harimau Muda itu dan sekali gus mengulangi kemaraan ke pentas final sejak edisi 2017, 2018 dan 2019 lalu.

Dalam pada itu, Hassan Sazali turut menasihatkan para pemain negara tidak terbuai-buai dengan kejayaan menumbangkan pasukan pilihan Vietnam.

Sebaliknya tegasnya, para pemain perlu terus mengekalkan momentum kemenangan dan menampilkan aksi berdisiplin sekiranya mahu menjuarai kejohanan ini.

"Saya harap semua pemain, tidak terlalu meraikan kejayaan menewaskan Vietnam sebelum ini, sebaliknya mereka perlu fokus kepada perlawanan akhir menentang Laos.

"Jadi saya harap apa yang mereka tampilkan dalam perlawanan separuh akhir itu, dapat dikekalkan. Insya-ALLAH, sekiranya mereka berjaya menampilkan aksi yang sama, tidak mustahil mereka mampu untuk memenangi kejohanan ini,” katanya.

REKOD MALAYSIA-LAOS

2005

Kumpulan

Laos 1 -2 Malaysia

2007

Kumpulan

Laos 3 - 7 Malaysia

*2015

Penentuan tempat ketiga

Laos 1 (3) - 1 (2) Malaysia

*penentuan penalti

2017

Kumpulan

Malaysia 4 - 1 Laos 1

2022

Kumpulan

Malaysia 0 - 1 Laos